Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menyuap pulut kuning kepada Puan Sri Prof Aishah Salleh dalam Majlis Rumah Terbuka Umno Selangor, di Shah ALam Convention Centre (SACC), di sini, hari ini. Foto Nizam Zain
SHAH ALAM – Meskipun UMNO menjadi pembangkang di Selangor namun parti itu tidak pernah sesekali menggunakan kaedah menabur fitnah seperti mana dipraktik oleh Pakatan Harapan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar sebaliknya berkata, pihaknya sentiasa membuat kerja-kerja penerangan untuk menyedarkan rakyat di negeri itu.
“Kalau kita pembangkang, cara kita berfikir pun kena macam pembangkang tapi (PH) jadi mereka pembangkang cuba mempengaruhi rakyat supaya tidak percaya dengan kerajaan sedia ada.
“Kita di Selangor, saya tak mahu menabur fitnah, kita nak sedarkan bahawa rakyat di Selangor ini masih lagi berada dalam keadaan yang memerlukan pembelaan,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Umno Selangor, di Shah ALam Convention Centre  di sini petang tadi.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam yang menegur ahli dan kepimpinan UMNO Selangor agar tidak berasa selesa dan mesti berfikir seperti pembangkang untuk merampas negeri itu pada PRU14 akan datang.
Ahmad Zahid berkata, ini kerana bukan pakatan pembangkang kuat di Selangor tetapi masalahnya ahli dan kepimpinan UMNO Selangor tidak berfikiran seperti pembangkang.
Noh selaku Ahli Parlimen Tanjung Karang juga berkata, selaku pembangkang di Selangor, pihaknya sentiasa mengingatkan rakyat Selangor khususnya di luar bandar masih memerlukan banyak pembelaan.
“Kita nak beri tahu kepada rakyat dan kerajaan negeri bahawa pembangunan di Selangor ini masih diperlukan,” katanya.
Noh berkata, sikap ego yang ditunjukkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam isu rizab negeri membuktikan pemimpin pakatan itu gagal menguruskan dana awam untuk kebajikan rakyat.
“Saya nak ingatkan rakyat Selangor, kalau dia ada duit berbilion, kenapa saya di Gombak terpaksa keluar peruntukan lebih RM11 juta tapi dia tak tahu masalah rakyat di Gombak sendiri.
“Ini bezanya pemimpin BN dengan PH, pemimpin kita turun ke padang selesaikanm masalah rakyat, tapi mereka pusing macam Rafizi, kerja dia hasut rakyat saja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast