MANCHESTER – Pemain tengah senior Manchester United, Michael Carrick dilantik menjadi kapten pasukan bagi menggantikan Wayne Rooney yang kembali menyertai kelab lamanya, Everton.
“Bergelar kapten untuk sebuah pasukan yang besar ini adalah satu penghargaan buat saya,” jelasnya kepada MUTV.
“12 tahun lalu, saya tiba di sini pada usia 25 tahun. Ketika itu saya tidak pernah terfikir akan mengecapi pelbagai kejayaan di sini.
“Saya akan terus menjadi diri sendiri dan tiada siapa yang boleh mengubahnya. Jangan berubah sikap jika anda telah diberi satu peranan dengan menjerit dan memarahi orang lain.
“Saya hanya menegur bila perlu dan akan cuba menjadi contoh kepada rakan dalam pasukan,” katanya.
Bersama United, Carrick telah merekodkan 459 penampilan dan menjaringkan 24 gol.
Pada Mei lalu, dia ditawarkan kontrak sambungan selama setahun untuk terus beraksi di Old Trafford musim depan. – MalaysiaGazette