Gary Cohn

WASHINGTON – Presiden Donald Trump tidak mungkin mencalonkan Pengerusi Rizab Persekutuan Janet Yellen pada tahun depan untuk penggal kedua.

Sebaliknya, beliau dijangka memilih Pengarah Majlis Ekonomi Negara (NEC), Gary Cohn untuk menggantikan Yellen, menurut Politico yang memetik empat sumber paling rapat dalam proses itu.

Politico berkata, sumber di White House, Jabatan Perbendaharaan dan di Capitol Hill mengatakan jika Gary memutuskan mahu menggantikan Yellen, beliau mungkin mendapatnya.

“Terpulang kepada Gary. Jika dia mahu dan saya berpendapat ia bakal memperolehnya,” Politico memetik seorang wakil Republikan.

Beberapa Republikan Senat mungkin akan memberi keterangan mengenai Gary dan beliau mungkin akan menerima sokongan baik, kata seorang pembantu anggota kongres Republikan, menurut Politico.

Sebagai tindak balas kepada pertanyaan dari Reuters, jurucakap White House, Natalie Strom berkata: “Gary fokus terhadap tanggungjawabnya di NEC.”

Gary, seorang Demokrat dan bekas presiden Goldman Sachs, tidak bekerja pada kempen Trump dan hanya mengenali beliau selepas pilihan raya November lalu.

Yellen mengambil alih dari Ben Bernanke sebagai peneraju di Rizab Persekutuan pada bulan Februari 2014 dengan pemulihan ekonomi Amerika Syarikat dari krisis kewangan 2008 yang masih lemah.

Beliau telah meletakkan keutamaan dalam pertumbuhan pekerjaan dan upah serta pemulihan luas dalam kekayaan isi rumah Amerika Syarikat.

Gary memulakan karier sebagai pedagang komoditi di Goldman pada tahun 1990, berpengetahuan luas dalam pasaran kewangan tetapi kurang latar belakang dalam polisi monetari, kata Eric Stein, Pengarah Bersama, Pendapatan Global di Eaton Vance.

Semasa kempen pilihan raya tahun lalu, Trump menuduh Yellen menerima arahan Presiden Barack Obama untuk mengekalkan kadar faedah yang rendah kerana alasan politik.

Jurucakap Rizab Persekutuan tidak mengulas mengenai laporan Politico. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast