Lelaki berusia 30-an yang bekerja sebagai jurujual dikesan mengabaikan saman lalu-lintas yang dikeluarkan terhadapnya atas pelbagai jenis kesalahan sejak kira-kira lapan tahun lalu. - foto dari media sosial.

PULAU PINANG – Seorang lelaki dikesan mempunyai sebanyak 102 saman lalu-lintas tertunggak membabitkan denda lebih RM5,000 ketika pemeriksaan dijalankan sepasukan polis trafik dalam operasi di Jalan Patani, di sini hari ini.

Lelaki berusia 30-an yang bekerja sebagai jurujual itu dikesan mengabaikan saman lalu-lintas yang dikeluarkan terhadapnya atas pelbagai jenis kesalahan sejak kira-kira lapan tahun lalu.

Antara kesalahan yang dilakukan lelaki berkenaan adalah melanggar had laju dan kesalahan halangan lalu-lintas dengan sebanyak 97 kesalahan itu dilakukannya di sekitar Daerah Timur Laut di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, lelaki berkenaan bagaimanapun dibebaskan selepas pemeriksaan dilakukan dan dia dinasihatkan menjelaskan tunggakan saman tersebut atau berisiko diheret ke mahkamah.

Sementara itu, menurut Anuar, operasi selama tiga jam di sekitar Jelutong di sini pagi ini digerakkan bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ia susulan operasi bersepadu di seluruh negara hari ini yang menempatkan pegawai dan anggota kedua-dua badan berkuasa itu di beberapa lokasi sekitar persimpangan lampu isyarat utama bagi mengekang tindakan penunggang motosikal yang melanggar lampu isyarat merah.

Dalam operasi di Jelutong pagi ini, kata beliau, pihaknya turut mengeluarkan tujuh saman terhadap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan lampu isyarat.

Antara kesalahan yang dilakukan lelaki berkenaan adalah melanggar had laju dan kesalahan halangan lalu-lintas dengan sebanyak 97 kesalahan itu dilakukannya di sekitar Daerah Timur Laut. foto dari media sosial.

“Secara keseluruhan sebanyak 220 saman dikeluarkan sepanjang tiga jam operasi pagi ini termasuk terhadap 10 pemandu yang tidak memakai tali pinggang kaledar dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Selain itu, kita turut mengeluarkan sebanyak 14 waran tangkap terhadap individu yang melakukan pelbagai kesalahan trafik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa pengguna jalan raya yang disaman atas pelbagai kesalahan trafik tidak sesekali mengabaikan saman tersebut sebaliknya membuat pembayaran atau berdepan risiko dihadapkan ke mahkamah. – MalaysiaGazette