KUALA LUMPUR – Berbaki empat hari lagi untuk Malaysia menyaksikan satu lakaran sejarah pelancaran sepenuhnya Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh-Kajang (SBK) ada suara menyatakan idea asalnya datang daripada Ketua Pembangkang.
Dalam laporan laman web suarapakatanharapan.com, idea itu datangnya daripada Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang pada tahun 2014 lalu.
“Jika ada pihak yang layak mendapat pujian hasil daripada siapnya MRT Kajang yang bakal dilancarkan enam hari dari sekarang, orang itu ialah Datuk Seri Wan Azizah Ismail yang juga ADUN Kajang.
“Justeru, (Datuk Seri) Najib (Razak) tidak layak untuk memperlekehkan Pakatan Harapan dengan siapnya MRT Kajang ini kerana dia bukan pencetus disebaliknya tapi Wan Azizah dan kemenangan Wan Azizah dalam PRK Kajang 2014 adalah bukti.
“Lagipun MRT ini dibina dengan duit rakyat, bukan duit Najib, kenapa dia mahu mendapat kredit daripadanya?” tulis laporan berkenaan.
Bagaimanapun, laporan tersebut tidak menamakan mana-mana individu yang boleh mengesahkan dakwaan berkenaan dan hanya memetik laporan sumber dalaman PKR.
Hasil carian Malaysia Gazette, projek MRT dimulakan tahun 2010 melibatkan jajaran Sungai Buloh ke Kajang yang merupakan projek dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu sidang media hari ini berkata, pihaknya telah menyediakan seramai 1,100 pekerja bagi memastikan perasmian MRT bagi fasa kedua meliputi laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) berjalan lancar. -MalaysiaGazette.
http://www.suarapakatanharapan.com/2017/07/11/mrt-kajang-cetusan-idea-wan-azizah-pkr/