Ketua Pemuda Gerakan Kebangsaan, Tan Keng Liang (empat kiri) mengadakan sidang akhbar di Menara PGRM, Jalan Pudu Ulu, Cheras, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI 15 JULAI 2017.

KUALA LUMPUR – DAP diingatkan supaya tidak cuba mengheret Barisan Nasional (BN) ke dalam krisis yang melanda parti pembangkang itu.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, DAP tidak berdaya menyelesaikan isu pemilihan semula parti yang sudah diarahkan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan sengaja mencari pasal dengan BN.

Katanya, adalah tidak adil DAP menuding jari ke arah BN apabila berhadapan dengan kemelut dalaman parti yang berlarutan sejak September 2013.

“Yang buat aduan ahli DAP dan yang jadi mangsa juga adalah ahli DAP, jadi kenapa kamu nak tuding jari kepada BN, kalau tidak mahu ada masalah, buat pemilihan seperti diarahkan RoS, apa yang susah sangat.

“Jika Lim Guang Eng yang masih menggelar diri sebagai Setiausaha Agung parti itu yakin mereka mempunyai kepercayaan dan mandat majoriti ahli, tak perlulah risau untuk mengadakan pemilihan semula parti.

“Habis itu kenapa kamu tuduh RoS dan BN kononnya kami yang melambatkan proses itu, perbuatan DAP sangat melucukan,” katanya pada sidang media di ibu Pejabat Gerakan di Menara PGRM Cheras di sini.

Dalam perkembangan sama, beliau menyoal Guan Eng apakah Ketua Menteri Pulau Pinang itu merasa goyah atau kurang berkeyakinan dengan sokongan parti untuk mengadakan pemilihan semula parti.

Katanya, sekiraya parti komponen BN, Gerakan, berdepan dilema yang sama, sudah pasti ia akan akur dengan keputusan RoS dan mengadakan pemilihan semula untuk menyelesaikan masalah.

“Kami tak faham kenapa DAP cuba main politik dan mengelirukan rakyat dengan macam-macam tuduhan berkaitan pemilihan semula.

“Ikut sahajalah arahan RoS. Apa yang istimewa sangat tentang DAP yang suka tuduh pihak lain sehingga tunjuk perangai kononya dia membatasi undang-undang negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast