Halimaton Saadiah Bohan

KUALA LUMPUR – Paling lantang bercakap seolah mereka anti-rasuah dan bebas daripada terlibat dengan gejala itu ialah parti pembangkang dari PKR, DAP dan Pas.

Bagaimanapun, ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkasakan usaha mencegah rasuah, ketiga-tiga parti yang memerintah Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan ini belum melafazkan Ikrar Bebas Rasuah sehingga hari ini.

Ini diakui Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad yang Selasa lalu dilaporkan sebagai berkata, tiga negeri pembangkang itu belum lagi melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah bagi membuktikan pentadbiran mereka bebas rasuah serta salah guna kuasa sepenuhnya.

Kata beliau, pihaknya tidak mahu orang yang berdegar-degar bercakap tolak rasuah dan meminta SPRM mengambil tindakan, tetapi mereka gagal menunjukkan komitmen serta kesungguhan dengan isu rasuah dalam pentadbiran masing-masing.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Subang, Datuk Halimaton Saadiah Bohan ketika diminta mengulas tindakan pembangkang itu menyifatkan, ketiga-tiga parti pembangkang itu bagai ‘tong kosong’.

“Tindakan cuba mengelak daripada melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah ini jelas menunjukkan wajah sebenar pembangkang.

“Jadi, tidak hairan kalau ada Ketua Menteri dan pemimpin mereka kini dihadap ke muka pengadilan dan dalam proses perbicaraan kes rasuah yang dilakukannya.

“Mereka lantang bercakap anti rasuah, macam tong kosong bunyinya, tapi pada masa sama apabila SPRM minta mereka juga turut berikrar, mereka tidak mahu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Halimaton Saadiah memuji kerajaan negeri bawah Barisan Nasional (BN) kerana tanpa ragu-ragu menyahut usaha SPRM dengan masing-masing melafazkan dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah.

Ujar beliau, jabatan dan agensi bawah kerajaan Persekutuan juga turut berbuat demikian bagi menunjukkan komitmen mereka menolak perbuatan rasuah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara memberitahu, selain kerajaan negeri BN, jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan, badan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga turut melafazkan ikrar.

“PKR, DAP dan Pas sepatutnya berasa malu dengan sikap berdolak dalik mereka dalam perkara berkaitan dengan mencegah rasuah oleh SPRM. Kalau NGO boleh lafaz ikrar, kenapa mereka tidak boleh?” katanya. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast