Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendapatkan juadah seperti laksa pada Majlis Rumah terbuka UMNO 2017 di Pusat Dagangan Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Pelantikan ‘tiga nakhoda’ baharu tanpa wakil DAP dalam pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) hanya satu sandiwara politik membolot majoriti kerusi Parlimen pada PRU-14.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berkata, DAP dijangka mendapat kerusi Parlimen terbanyak berbanding parti komponen PH yang lain kerana parti itu mahu mendapatkan kuasa mutlak agar boleh menentukan hala tuju pembangkang.

“Ini ada mainan politik sebab kekuatan pembangkang ini adalah berdasarkan kepada bilangan kerusi dan dalam sistem demokrasi berparlimen. Mana-mana parti yang mempunyai kerusi terbanyak, dia akan mempunyai kuasa lebih.

“Begitu juga dalam BN, sebab UMNO ada bilangan kerusi terbanyak, bermakna kuasa mutlak atau kuasa utama ada dalam tangan UMNO,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Umno 2017 di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Beliau mengulas struktur baharu PH yang diumumkan oleh Majlis Presiden pakatan pembangkang selepas lima jam bermesyuarat pada malam Jumaat lepas.

Dalam struktur baharu itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantikan sebagai ketua umum manakala Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail masing-masing sebagai pengerusi dan presiden PH.

Bagaimanapun Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hanya dilantik sebagai Timbalan Presiden PH bersama dua yang lain iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mohamad Sabu.

Ditanya mengenai kerjasama Mahathir dengan Anwar dalam struktur baharu PH itu, Najib berkata, bekas Perdana Menteri itu perlu menjawab tuduhannya terhadap Anwar sebagai pemimpin tidak bermoral sama ada berasas atau sebaliknya.

“Apakah Dr. Mahathir masih kekal dengan kenyataan yang dia telah buat pada 1997 yang dia tuduh Anwar melakukan perbuatan luar tabie dan oleh itu tak boleh memimpin negara.

“Dalam kepala rakyat hari ini, apakah tuduhan itu tidak betul pada asalnya ataupun dia sanggup korbankan prinsip tersebut untuk tujuan politik hari ini ataupun ada muslihat lain,” tegasnya.

Kata Najib lagi, selagi Mahathir tidak menjawab persoalan itu, selagi itulah rakyat akan terus mencurigai kerjasama beliau dengan Anwar dalam kepimpinan PH.

“Ini semua tak dijawab pihaknya sendiri, selagi dia tak jawab ini, ia merupakan mainan dan sandiwara politik tiada keikhlasan sebenarnya,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.