BIRMINGHAM – Sebanyak 27 kanta lekap ditemui pada satu mata seorang wanita ketika pakar bedah mahu melakukan pembedahan katarak.
Sebelum ini, wanita tersebut mengadu matanya tidak selesa dan beranggapan matanya kering kerana faktor usianya yang sudah mencecah 67 tahun.
Pada mulanya, pakar mata menemui 17 kanta yang tersekat bersama lendir.
Sebanyak 10 lagi kanta lekap ditemui selepas mata wanita itu diperiksa di bawah mikroskop, menurut British Medical Journal, yang menerbitkan butiran tentang kes November 2016 awal bulan ini.
“Tiada seorang pun daripada kita pernah melihat kes seumpama itu sebelum ini,” kata pakar bedah, Rupal Morjaria, dari Hospital Solihull berhampiran Birmingham
Menurutnya, jumlah kanta lekap yang ditemui sangat banyak dan terperanjat kerana pesakit tidak mengetahui kewujudan kanta yang menyebabkan banyak masalah pada matanya.
Wanita itu telah menggunakan kanta lekap pakai buang sejak 35 tahun lalu tetapi tidak pernah menjalani pemeriksaan mata.
Malah, dia tidak pernah tahu ada kanta lekap yang hilang.
Pembedahan katarak yang dijadualkan telah ditangguhkan selepas penemuan kanta-kanta itu.
“Selepas dua minggu kanta-kanta itu dibuang, mata pesakit semakin selesa,” katanya. – MalaysiaGazette