KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengelar Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai ‘Tun M Huru Hara’.
Ini kerana Tun M tidak habis-habis menyalahkan pembangunan yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Malah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu menasihatkan agar Tun M berehat daripada politik dan duduk dirumah pada usia tua.
“Saya berasa kasihan melihat Tun M dan pemimpin pembangkang tertinggi seperti Tun M dan Anwar Ibrahim sudah tua tapi masih tak berubah sikapnya, dia tidak nyanyuk, tetapi huru hara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Aplikasi perkhidmatan teksi tradisional iaitu E-Hailing
pertama dengan butang kecemasan di negara ini.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan berterusan Tun M yang kesal kerana Najib yang didakwanya tidak mewarisi karakter bapanya, Allahyarhan Tun Razak.
Satu lagi, menurut Mohamed Nazri, Tun M tidak perlu meminta maaf kononnya rasa bersalah kerana terlibat melantik Najib sebagai perdana menteri.
Beliau juga hairan kenapa Tun M bersikap demikian kerana yang melantik Najib adalah Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Kenapa dia perlu risau sangat, bukan dia (Tun M) yang lantik, yang lantik Najib ialah Pak Lah, lagi pun Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melakukan apa-apa kesalahan sehingga perlu dikesali rakyat, Tun M cakap demikian hanya sebagai syok sendiri,” katanya.
Rakyat sekarang menurut Mohamed Nazri melihat Tun M bukan lagi pemimpin yang berprinsip seperti dahulu kerana mahu membalas dendam menjatuhkan Najib.
“Dia kesal anak dia (Datuk Seri Mukhriz) tiga kali kalah dalam iaitu tewas kepada Khairy Jamaluddin dalam merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, kalah jawatan Naib Presiden UMNO dan diturunkan sebagai Menteri Besar Kedah.
“Ini yang memaksa Tun M sanggup melupakan prinsip moral yang pernah dipikul dan sanggup berpakat dengan pembangkang demi membalas dendam kepada Najib dengan cuba menjatuhkan kepimpinannya,” dakwanya.
Dalam pada itu, Mohamed Nazri meramalkan Pakatan Harapan yang disertai tiga pemimpin tua itu akan berkubur menjelang PRU-15 kelak.
“Biarlah mereka bergaduh lama, saya tak nampak mereka akan berjaya, akan bergaduh, tendang-menandang dan bunuh sesama mereka sehingga PRU-15, bukan dengan begitu cepat.
“Jika lagipun Pakatan Harapan bukan ancaman kepada BN kerana mereka tidak berada dalam kedudukan itu memandangkan akan terkubur dengan saling membunuh,” tegasnya.
Ditanya mengenai hasrat Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md. Yunos yang berhasrat bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Mohamed Nazri menyifatkan Jamal sebagai calon terbaik dan beliau sedia menyokong jika pemimpin itu tampil bertemu dengannya. – Malaysia Gazette