Anwar Gargash

LONDON – Antarabangsa diminta memantau Qatar kerana terdapat tanda-tanda bahawa tekanan yang dikenakan terhadap Doha “sudah bermula”.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir  memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Qatar sejak 5 Jun lalu selepas mendakwa Doha membiayai kumpulan ekstremis dan bersekutu dengan Iran.

Bagaimanapun Doha menafikan tuduhan itu.

“Kami memerlukan penyelesaian serantau dan pemantauan antarabangsa.

“Kita perlu yakin bahawa Qatar, negara dengan simpanan sebanyak AS$300 bilion, tidak lagi menjadi penaja jihad rasmi dan tidak rasmi,” kata Anwar Gargash, Menteri Luar UAE, dalam tek ucapannya yang dijadualkan dibaca di London pada hari Isnin.

Beliau tidak memberi perincian lanjut mengenai pemantauan yang dicadangkan.

Gargash berkata, memorandum sefahaman berhubung pembiayaan pengganas yang ditandatangani oleh Amerika Syarikat dan Qatar pada Selasa lalu adalah satu perkembangan positif.

Namun, empat kuasa Arab telah menyatakan bahawa memorandum itu tidak menyentuh kebimbangan mereka dan sekatan akan tetap diteruskan sehingga Doha memenuhi tuntutan yang dibuat.

Malah, negara-negara Teluk itu akan mengawasi usaha Qatar untuk memerangi pembiayaan pengganas.

“Kami melihat tanda-tanda tekanan sedang berjalan,” kata Gargash. – MalaysiaGazette