GENEVA – Jepun yang kecewa dengan tawaran Korea Selatan untuk mengadakan perbincangan dengan Korea Utara menegaskan bahawa tekanan melalui sekatan sepatutnya dilakukan terhadap Pyongyang.
Jurucakap Kementerian Luar Negeri, Norio Maruyama berkata: “Ini bukan masa untuk berdialog”.
Sebaliknya katanya, sekaranga adalah masa untuk meningkatkan tekanan ke atas Pyongyang dalam usaha mengadakan dialog yang lebih serius.
Menteri Luar Negeri Jepun, Fumio Kishida berada di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menghadiri mesyurat pembangunan.
Semalam, Kementerian Pertahanan Korea Selatan mencadangkan mesyuarat diadakan pada Jumaat ini di perkampungan sempadan di Panmunjom untuk meredakan ketegangan setelah Pyongyang menguji peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang pertama, baru-baru ini.
Sekiranya pertemuan itu berlangsung, ia akan menjadi rundingan antara Korea Utara pertama sejak Disember 2015.
Tawaran itu dibuat selepas Amerika Syarikat sukar berunding dengan China di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung resolusi sekatan baru sebagai tindak balas kepada ujian ICBM.
Usaha oleh Korea Selatan itu adalah jarang sekali dibuat kepada Korea Utara.
Korea Utara bakal berhadapan dengan sekatan lebih sukar termasuk halangan terhadap bekalan minyak, larangan pekerja Korea Utara, mengharamkan kapal Korea Utara dari semua pelabuhan dan sekatan perdagangan yang lebih kuat.
Jepun menyokong tindakan baharu itu tetapi mahu Rusia dan China juga melakukan lebih banyak sekatan.
Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, perdagangan antara China dan Korea Utara meningkat 10.5 peratus kepada AS$2.5 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Import bijih besi dari Korea Utara melonjak dan China berhujah bahawa resolusi sekatan perdagangan PBB itu dibenarkan jika pendapatan itu digunakan untuk kehidupan penduduk awam. – MalaysiaGazette