KUALA LUMPUR – Majlis Ittihad Ummah (Itiihad) mengajak semua pihak agar kembali kepada konsep kebebasan beragama yang digariskan Perlembagaan Persekutuan dalam menangani isu evangelisme secara baik.
Ketua Lajnah Kajian Stratejik, Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, pihaknya melihat pelbagai tafsiran dibuat untuk mengesahkan pendirian masing-masing mengenai hak kebebasan beragama dan kesamarataan yang dijamin undang-undang negara.
Katanya, dalam konteks konsep kebebasan beragama, ia perlu dilihat dari dua sudut iaitu peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan sejarah perundangan tanah air.
“Pada sisi pertama, Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan konsep kebebasan beragama dalam tiga aspek iaitu kebebasan untuk menganuti dan mengamalkan agama secara bersyarat seperti termaktub dalam Perkara 11(1).
“Kedua, kawalan dan sekatan untuk mengembangkan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan penganut Islam seperti diperuntukkan dalam Perkara 11(4).
“Dan ketiga, larangan terhadap perbuatan yang berlawanan dengan undang-undang am berhubungan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral seperti dinyatakan dalam Perkara 11(5),” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Menurut Wan Ahmad Fauzi, Perkara 11(3) Perlembagaan menentukan bahawa kebebasan untuk menganut dan mengamalkan agama itu termasuk menguruskan hal ehwal agamanya sendiri.
Ini ujar beliau, termasuk menubuhkan atau menyelenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat dan memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang serta tertakluk pada peruntukan lain yang terdapat dalam Perlembagaan.
“Sudut kedua pula, konsep kebebasan beragama ini perlu dilihat secara holistik, bukan setakat melalui prinsip atau peruntukan perlembagaan sahaja, bahkan kepada konsep kedaulatan tanah air itu sendiri.
“Ini disebabkan, konsep kedaulatan inilah sumber kedaulatan undang-undang (rule of law) dan tanpa kedaulatan watan, Perlembagaan hilang daulatnya,” tegas beliau.
Kata beliau, Perlembagaan berdaulat kerana ia dipersetujukan oleh Raja-raja Melayu untuk menjadi Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
Justeru, ujarnya, untuk menilai tahap kebebasan yang diberikan kepada agama selain Islam, terlebih dahulu perlu diperhatikan dan dipegang berkenaan kedudukan istimewa agama Islam serta hak kebebasan beragama penganut Islam yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Kedudukan istimewa ini dibenarkan oleh Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan, “Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama”.
“Hak kebebasan beragama kepada penganut agama Islam adalah selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Kedudukan ini sudah terpelihara sebelum kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia pada tahun 1963.
“Bahkan kedudukan Islam sebagai agama watan (law of the land) adalah legasi Kesultanan Melayu Melaka dan salah satu jati diri Tanah Melayu, selain ianya adalah akidah Raja-raja Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette