JAKARTA – Penutupan rangkaian global kedai serbaneka 7-Eleven di Indonesia menunjukkan landskap ekonomi dan regulatori yang sukar di negara tersebut, sekali gus bakal menjejaskan peluang pelabur yang mahu mengambil alih jenama francais ternama itu pada masa akan datang.
Syarikat senaraian awam, PT Modern Internasional, pemegang francais 7-Eleven di Indonesia dalam kenyataan ke bursa berkata, kekurangan sumber merupakan alasan utama mengapa mereka menutup terus operasi di kesemua cawangan 7-Eleven setakat 30 Jun lalu.
Syarikat tersebut berkata, mereka gagal untuk menjual francais berkenaan dan aset-aset lain kepada Charoen Pokphand Indonesia dan sekutu konglomerat dari Thailand itu pada harga 1 trillion rupiah (RM321 juta).
Namun perdebatan mengapa 7-Eleven yang dikenali sebagai “sevel” di Indonesia tutup terus hangat diperkatakan.
Para penganalisis dan pemerhati industri berkata, satu kombinasi persaingan sengit ditambah dengan kelembapan ekonomi serta halangan regulatori termasuk pengharaman penjualan alkohol di pasar mini pada 2015 menjadi punca penutupan francais jenama terkenal itu.
Syarikat berkenaan bagaimanapun enggan memberi komen. – MalaysiaGazette