Sebahagian pokok-pokok yang berusia 20 tahun yang ditebang di BungaRaya Condo Saujana Resort.

KUALA LUMPUR – Penghuni-penghuni BungaRaya Condo Saujana Resort mahu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menghentikan kerja-kerja penebangan pokok-pokok di kawasan perumahan itu oleh pihak pengurusan kediaman tersebut.

Penduduk mendakwa tindakan memotong pokok-pokok besar di kawasan perumahan berkenaan telah menjejaskan dan merosakkan kediaman serta kemudahan kolam renang.

Malah, penebangan pokok-pokok berkenaan telah merosakkan keindahan kondominium tersebut.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr. George Jacob (CASSA) berkata, penebangan pokok oleh pengurusan kondominium itu tidak mendapat persetujuan penduduk tetapi ia diteruskan juga.

Para penghuni yang membantah telah mempersoalkan kewajaran menebang pokok-pokok berusia kira-kira 20 tahun itu tetapi tidak dijawab oleh pihak pengurusan.

“Sebelum itu pihak pengurusan hanya mendakwa pokok-pokok terpaksa ditebang kerana ada sarang semut tetapi penduduk mahu masalah itu ditangani dengan cara lain tanpa menebangnya.

“Penghuni telah membawa isu itu kepada FRIM dan agensi itu turut mempersoalkan tindakan yang hendak dibuat namun ia tidak diendahkan,” kata Jacob di sini.

Suasana rumah penghuni BungaRaya Condo Saujana Resort sebelum penebangan pokok dilakukan.

Pihak pengurusan telah bertindak menebang 10 batang pokok besar sejak 13 Jun lalu dan menyambungnya pada hari ini.

Lebih dikesalkan apabila pihak pengurusan yang menggunakan pekerja asing untuk menebang pokok tanpa mengikut peraturan sehingga ‘menghilangkan’ suasana resort di kondominium tersebut.

Keadaan itu sekali gus telah menjejaskan peluang penghuni yang berhasrat untuk menjual kediaman mereka.

“Lantaran itu, penduduk memohon MBSA campur tangan dalam kerja-kerja penebangan pokok tersebut.

“Kalau benar pokok-pokok itu punca masalah semut, pihak pengurusan sepatutnya merawat pokok-pokok berkenaan dengan cara yang betul,” ujar. George. – MalaysiaGazette