KUALA LUMPUR – Bukan sahaja warga tempatan, pelancong asing turut diraikan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri kementerian bersama warga kota hari ini.
Kira-kira 1,000 pelancong asing, 3,000 kanak-kanak dan golongan gelandangan serta lebih 20,000 warga kota memenuhi Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menikmati jamuan raya bermula jam 12 tengah hari.
Sebanyak sembilan organisasi dan badan korporat turut bekerjasama dalam menjayakan majlis Rumah Terbuka Aidilftri yang berkonsepkan mesra rakyat dan tiada protokol itu.
Ketika berucap Tengku Adnan berkata, majlis yang dianjurkan secara tahunan itu juga salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat mereka bagi program bersama komuniti yang dapat meningkatkan reputasi serta nama baik organisasi berkenaan.
“Program ini dapat mengeratkan silaturahim kerajaan dengan warga kota Kuala Lumpur, selain mendekatkan pemimpin dengan rakyat dalam konsep santai dan mesra rakyat.
Selain itu, penerapan nilai rasa kasih sayang dapat dibina dan dipupuk bagi melambangkan warga masyarakat Wilayah Persekutuan yang harmoni, prihatin, maju dan sejahtera,” katanya.
Turut hadir, Datuk Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz; Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr. Zulhasnan Rafique dan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Mengulas lanjut mengenai Rumah Terbuka Aidilfitri itu, Tengku Adnan memberitahu, program itu dimulakan sejak 2010 yang menjadi mediumutama mengeratkan silaturahim antara Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi bersama warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Sejak itu, kata beliau, kementeriannya menganjurkan setiap tahun, di samping melaksanakan penambahbaikan secara berterusan khususnya dalam aspek pengisian program bagi memastikan ianya dapat memberi manfaat kepada kumpulan sasar. – MalaysiaGazette