Nurul Izzah Anwar
PETALING JAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberi tempoh seminggu untuk membersihkan daftar pemilih daripada 4,000 pengundi hantu di kawasan Parlimen Wangsa Maju.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, sekiranya Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah gagal menjelaskan dakwaan tersebut, pihaknya akan membuat laporan polis.
“Kita perlu diberi jaminan oleh SPR tidak ada pengundi hantu di kawasan-kawasan Parlimen lain di seluruh Malaysia. Maka masa yang diberikan oleh Datin Paduka dan pasukannya adalah seminggu di mana semua fakta dan siasatan ini didedahkan.
“Memandangkan SPR langsung tidak kelihatan bersungguh menghadapi segala persoalan ini dan ia mengukuh persepsi awam bahawa mereka juga terlibat dalam urusan menambah dan memindah pengundi hantu di seluruh Parlimen sasaran di Malaysia.
“Apakah jawapan tuntas daripada pengerusi SPR bahawa pihak SPR tidak terlibat dalam proses manipulasi jahat ini? Saya berharap SPR menjawab dan tidak mudah ini dakwaan pembangkang,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), di sini, hari ini.
Beliau mengulas pendedahan Bendahari Agung PKR, Datin Paduka Tan Yee Kew dan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR bahawa wujud satu angka besar pengundi yang luar biasa didaftar dan dipindahkan ke Wangsa Maju sejak Julai 2016 hingga Mac 2017.
Yee Kew mendakwa sepanjang sembilan proses pemindahan itu, terdapat 7,408 pengundi baharu dan 6,054 pengundi dipindahkan di Parlimen Wangsa Maju.
Dakwanya, berdasarkan siasatan dan pemeriksaan rumah ke rumaah oleh pihaknya mendapati, sebanyak empat daerah mengundi terlibat iaitu Taman Melati, Seksyen 1 Wangsa Maju, Gombak Utara dan Wangsa Melati.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah mengulangi gesaan pemimpin Pakatan Harapan sebelum ini supaya Kerajaan Persekutuan melaksanakan pendaftaran pemilih secara otomatik.
“Data daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh digabungkan dengan SPR. Saya tidak faham kita masih tidak boleh melakukan sedangkan sistem imigresen kita yang terbaik di rantau ini.
“Kita menggesa daftar pemilih secara otomatik dilakukan dan membersihkan nama pemilih daripada pengundi hantu itu adalah kerja SPR,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast