Pengerusi Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia (Gaum), Datuk Zulkarnain Mahdar
KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad digesa memberi penjelasan berhubung pendiriannya menyokong pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Harapan memenangi PRU14.
Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, rakyat perlu mengetahui pendirian terkini Mahathir dalam insiden pemecatan Anwar semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri kerana perbuatan tidak bermoral.
“Majoriti rakyat Malaysia yang tahu cerita pemecatan Anwar sangat ingin mengetahui apakah pendirian Tun berkaitan salah laku Anwar ketika ini. Penjelasan Tun amat penting setelah menukar pendirian dengan menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Ataupun ini adalah satu muslihat oleh Tun semata-mata mahu mengaburi mata rakyat demi menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 9 September 1998, Mahathir, dalam satu kenyataan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menyatakan salah satu sebab Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1998 adalah kerana melakukan perbuatan tidak bermoral.
Mahathir turut menganggap Anwar tidak layak untuk menerajui negara ini bukan disebabkan oleh soal politik, pertentangan pendapat atau ekonomi tetapi disebabkan moralnya rendah.
Zulkarnain juga berkata, sekiranya Mahathir cuba menarik balik kenyataannya yang lepas, sudah tentu beliau akan dipandang tiada integriti.
“Sekiranya Tun cuba menarik tuduhan tersebut, rakyat pasti akan menghukum Tun dengan presepsi cukup buruk dan menyifatkan sebagai pemimpin yang tidak mempunyai berpendirian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast