Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos
KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini membidas sikap ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim yang didakwa enggan membantu nelayan-nelayan di kawasan itu yang menjadi mangsa pihak berkuasa Indonesia.
Jamal menegaskan wakil rakyat itu seharusnya tidak membiarkan kebajikan nelayan-nelayan terbabit terabai tanpa sebarang pembelaan khususnya apabila berlaku penahanan bot Malaysia secara tidak sah.
“Jangan biarkan nelayan-nelayan kita ini macam nelayan-nelayan yang tiada kerajaan. Jetinya tak tahu ke mana, bantulah nelayan-nelayan YB, jangan cakap saja banyak, tetapi tak buat apa-apa pun.
“Jadi kalau kita sama-sama duduk macam sekarang ini dan memberikan bantuan kepada nelayan sudah pasti nelayan-nelayan akan terbela, ini yang kita harapkan,” katanya pada sidang media di Bagan Sekinchan, hari ini.
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos (tengah) membidas ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim (kanan).
Beliau mengulas tindakan penguatkuasa perikanan Indonesia yang didakwa melepaskan beberapa das tembakan ke atas sebuah bot nelayan Sekinchan pada Selasa lalu.
Dalam insiden itu, bot nelayan itu pada mulanya dikejar oleh kapal penguatkuasa itu dan meminta berhenti kerana mereka dipercayai menangkap ikan di perairan negara itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu boleh mengancam nyawa nelayan-nelayan Sekinchan yang dipercayai masih menangkap ikan dalam perairan Malaysia.
Budiman juga kesal apabila penguatkuasa Indonesia itu telah turut menahan dua bot nelayan Sekinchan sedangkan ia berdaftar secara sah dengan Jabatan Perikanan Malaysia.
“Kami berasa dukacita dengan penahanan bot tersebut kerana kami percaya bot terbabit berada dalam kawasan perairan Malaysia dan di luar kawasan Exclusive Economic Zone (EEZ) dan di luar laluan perairan antarabangsa.
“Mereka juga perlu menghormati Memorandum Persefahaman berkaitan Garis Panduan Bersama Tentang Layanan Terhadap Nelayan oleh Agensi Penguatkuasaan Undang-undang Maritim yang dimeterai pada 27 Januari 2012,” tegasnya.
Katanya, dua bot nelayan Sekinchan itu dipercayai kini ditahan di Langsa, Acheh, Indonesia.
“Penahanan dan menunda bot-bot nelayan Malaysia itu tidak sah, keterlaluan dan mencabuli perjanjian persefahaman itu.
“Kami akan mendapatkan pandangan pihak Wisma Putra untuk tindakan susulan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast