Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

PUTRAJAYA, 20 Julai – Kesemua 191 ketua bahagian UMNO seluruh negara menyokong penuh kepimpinan dan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden parti dan Perdana Menteri.

Setiausaha Agung UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sokongan padu berkenaan dizahirkan oleh 191 ketua bahagian dalam pertemuan tertutup dengan perdana menteri di Seri Perdana di sini pada Rabu malam.

“Kesemua ketua bahagian UMNO memberitahu perdana menteri bahawa mereka semua di belakang beliau demi agama, bangsa dan negara.

“Sokongan sedemikian adalah penting dalam memastikan parti adalah kuat dan kalis sebarang ancaman,” katanya.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian serentak persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Putrajaya 2017.

Dalam ucapannya, beliau berkata mereka yang sudah meninggalkan parti tidak harus dipinggirkan sebaliknya terus didekati untuk kembali menyokong UMNO.

Kata Tengku Adnan, beliau ada mendapat maklumat terdapat cubaan parti lawan yang juga parti serpihan UMNO untuk memancing ketua-ketua cawangan di Putrajaya.

Justeru beliau menasihatkan kepimpinan UMNO Bahagian Putrajaya peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri untuk merapatkan diri dengan masyarakat dan turun padang untuk mengetahui masalah yang dihadapi rakyat.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast