Gambar hiasan

ZIMBABWE – Selepas dua tahun seekor singa yang dinamakan Cecil dibunuh oleh pemburu upahan di Zimbabwe, anaknya juga mati dengan cara sama.

Xanda, yang berusia enam tahun bersama beberapa anak singa lain dilaporkan mati ditembak di luar Taman Negara Hwange di utara Zimbabwe.

Haiwan itu telah dipasang dengan alat penjejak elektronik oleh para penyelidik Oxford University.

Dengan usia enam tahun, Xanda memang sudah cukup umur menjadi sasaran secara sah oleh pemburu kebanyakan dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Afrika Selatan, yang membayar 10,000 pound untuk dibunuh dan kemudian membiayai dana kakitangan Taman Negara Hidupan Liar.

Tidak jelas berapa jumlah dibayar untuk membunuh Xanda.

Pemburu profesional dikatakan telah melaporkan kematian Xanda kepada pihak berkuasa dan memulangkan alat penjejak yang dipasang pada haiwan berkenaan.

Kisah kematian Cecil mendapat perhatian dunia selepas doktor gigi, Walter Palmer dari Minnesota di Amerika Syarikat mengaku membunuh singa berusia 13 tahun itu yang menjadi tarikan pelancongan di taman negara berkenaan.

Ketika itu, dilaporkan Cecil telah dipanah tetapi tidak mati serta-merta. Ia mati lebih 40 jam kemudian selepas ditembak dengan senapang.

Johnny Rodrigues, ketua Pasukan Petugas Pemuliharaan Zimbabwe memberitahu, kepala singa itu kemudian dipenggal dan kulitnya diambil.

Palmer dipercayai telah membayar AS$50,000 (£32,000) untuk memburu singa di rizab haiwan terbesar Zimbabwe. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast