KUALA LUMPUR – UMNO sentiasa bersikap terbuka dengan rakan parti komponen terutama MCA dan MIC seperti membahagikan kerusi Pilihan Raya Umum (PRU) mengikut kuota ditetapkan walaupun parti itu kalah dan gagal mempertahankan kerusi.
Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sikap baik itu juga membuktikan UMNO bukan parti perkauman sebagaimana didakwa sesetengah pihak.
Kata beliau, walaupun kawasan yang diberikan itu adalah majoriti orang Melayu, UMNO tetap akur dan patut kepada perjanjian parti yang dimeterai sejak sekian lama.
“UMNO terlalu baik dalam hal pengagihan kerusi. Kita tetap berikan beberapa kerusi kawasan majoriti orang Melayu walaupun calon dari MCA mahupun MIC kalah di kerusi itu.
“Kita kekal mengamalkan sikap toleransi, sikap terbuka dan tidak perkauman dengan rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN),” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bintang di Dewan Tun Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Dattuk Seri Tengku Adnan Mansor dan Pengerusi IT UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Zainal Abidin Mohd Rafik.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO Bahagian perlu mengubah kaedah menarik sokongan pengundi, bukan lagi menggunakan cara lama yang sudah tidak relevan.
Beliau memberi contoh, kecanggihan kaedah media massa menggunakan pelbagai platform dan kemudahan teknologi terkini untuk menarik pembaca, begitu juga dengan jentera parti perlu memikirkan kaedah terbaik agar pengundi tertarik dengan UMNO.
“Saya secara prinsipnya mengakui kaedah lama juga baik, tetapi kalau boleh kita perlu ikut perkembangan semasa dengan mendekati pengundi mengikut kehendak mereka.
“Kita perlukan undi. Apa saja kehendak mereka kita perlu turut, supaya mereka menerima kita dan memberi undi,” katanya.
Ahmad Zahid turut menjelaskan kepada UMNO Bahagian, jika ada masalah dan persengketaan di peringkat bahagian, beliau tidak akan sekali-kali campur tangan.
“Selesaikanlah dengan cara baik dan sesama sendiri. Bab ini saya tidak akan campur kerana parti adalah hak milik semua, bukan saya seorang.
“Saya berada di sini (pegang jawatan Naib Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri) pun kerana tuan-puan (ahli UMNO),” ujar beliau.
Dalam ucapannya juga, beliau mahu rakan komponen BN iaitu MCA dan MIC agar tidak mengamalkan sikap perkauman setiap kali menjelang PRU, dan akur dengan keputusan Presiden parti.
“Jika sesuatu kawasan itu mempunyai majoriti bukan Melayu, tetapi Presiden yakin calon Melayu boleh menang, mereka perlulah mengizinkan dan memberi sokongan.
“Jangan sokong membawa rebah, kerana ini akan merosakkan perpaduan parti dan mengurangkan kerusi BN di Parlimen,” katanya. – MalaysiaGazette