KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor dipercayai menyalahgunakan peruntukan di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) untuk membina bangunan sedangkan masih banyak jalan terabai.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azahari Shaari berkata, pihaknya mengesan penyalahgunaan itu untuk pembinaan dewan orang ramai di Kampung Padang Jawa dan Kampung Kuantan, Klang.

Azahari berkata, pada asalnya papan tanda projek pembinaan itu dinyatakan dengan jelan untuk tujuan projek infrastruktur MARRIS, bagaimanapun selepas isu itu tular di media sosial, ia telah ditukar kepada projek infrastruktur sahaja.

“Pada pagi ini saya bawa media ke lokasi Dewan Orang Ramai Kg Padang Jawa, ini bukan papan tanda asal, ia telah ditukar selepas pihak kami buat aduan dalam media sosial.

“Pada asalnya tertulis peruntukan MARRIS, ini merupakan salah satu dewan, satu lagi di Kg Kuantan malah di papan tandanya ada tulis peruntukan MARRIS,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka dan Ulang Tahun ke-4 MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Bukti penipuan papan tanda pembangunan infrastruktur MARRIS yang disalah guna untuk pembinaan dewan orang di Kg Padang Jawa, Klang.

Beliau turut mempersoalkan tindakan penyalahgunaan itu sedangkan banyak jalan raya yang masih berlubang dan uzur khususnya dalam kawasan Parlimen Shah Alam.

“ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail mesti tahu, MARRIS hanya digunakan untuk jalan, bukan dewan. Ini kerana dua projek di dua lokasi berbeza, dua kontraktor berbeza, boleh buat kesilapan sama.

“Kenapa Marris tidak digunakan di mana banyak tempat dalam kawasan Parlimen Shah Alam ini di mana jalan-jalannya masih tidak elok, berlubang hingga mengakibatkan kematian,” tegasnya.

Azahari juga mahu pihak berkuasa menjalankan satu siasatan terperinci berhubung penyalahgunaan peruntukan MARRIS oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk kegunaan selain membaik pulih dan membina jalan raya.

“Kita nak penjelasan lebih tepat supaya tidak ada sebarang keraguan tentang peruntukan MARRIS itu.

“Kita tak tahu sejauh mana kerajaan negeri, PBT atau wakil rakyat benar-benar mengguna peruntukan ini seperti yang ditetapkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast