SHAH ALAM – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terpukul dengan pengakuan seorang bekas anggota Exco Kerajaan Negeri dari Pas secara berterus terang mengakui suka pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang disifatkan lebih bersih dan cakna rakyat.
ADUN Sabak yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negeri, Sallehin Mukhyi ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan itu berkata, beliau tabik kepada bekas menteri besar sebelum ini.
“Saya salute bekas MB lalu. Dia keluar parti (PKR) kerana masalah peribadi (bukan kegagalan mentadbir kerajaan negeri).
“Saya hormat dia. Sebab itu kalau jumpa dia di luar, saya peluk dia,” katanya pada sesi perbahasan Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Ketiga Belas Tahun 2017 di sini, hari ini.
Beliau yang digugurkan jawatan Exco bawah kepimpinan baharu Mohamed Azmin berkata, sesiapa sahaja termasuk Perdana Menteri perlulah seorang yang bersih dari kekorupan dan bersedia menerima teguran.
“Bukan sahaja Perdana Menteri yang bersih dan cakna rakyat, MB pun mesti bersih dan cakna rakyat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemimpin bawahan agar tidak mempunyai niat jahat ketika menegur pemimpin atasan, manakala pemimpin pula perlu menerima teguran dari bawah.
Katanya, sebagai pemimpin, seseorang itu mestinya diajar dengan budaya santun yang menjadi akar budaya dalam politik dan ketika berpolitik.
“Bukan soal kita benci perdana menteri. Kita benci cara pengurusan… saya sebut ini tak kira siapa pun,” katanya. – MalaysiaGazette