SHAH ALAM – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dari Barisan Nasional (BN) Selangor tidak diberi peluang untuk mengemukakan soalan tambahan pada sesi menjawab soalan Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Selangor Ketiga Belas Tahun 2017 hari ini.
Kedua-duanya, ADUN Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahalan dan ADUN Permatan, Datuk Sulaiman Abdul Razak diarah duduk oleh Speaker DUN, Hannah Yeoh Tseow Suan ketika mereka bangun untuk bertanyakan soalan.
“Itu bukan soalan,” kata Hannah ketika Mat Nadzari bangun bertanya kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad.
“Saya mahu tanya dan tahu secara spesifik…,” kata Mat Nadzari yang tidak berpuas hati dengan arahan Hannah.
“Itu bukan soalan,” ulang Speaker DUN.
Ia berhubung jawapan Iskandar yang mendakwa, kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama kepada kerajaan Persekutuan mengenai masalah perumahan di Selangor.
Manakala Sulaiman pula bangun bertanyakan soalan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung peruntukan kerajaan negeri kepada universiti awam dan swasta.

Ketika beliau hendak menyambung soalan kedua, Hannah mencelah dengan berkata, satu soalan sahaja dibenarkan.
“Itu sahaja (soalan yang perlu dikemukakan),” kata Hannah.
Sulaiman bagaimanapun akur dengan arahan itu dan duduk di kerusinya.
Nik Nazmi ketika itu memberitahu sidang DUN mengenai tabung biasiswa pendidikan negeri Selangor. – MalaysiaGazette