KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Aduan Rakyat (PAR) Datuk A. Chandrakumanan hari ini membidas sikap Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menumpang kejayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merealisasikan Aliran Transit Massa (MRT).
Dalam kenyataan terbaharu Tun M mendakwa Projek MRT yang menghubungkan Kajang dan Sungai Buloh (KSB) adalah cetusan idea semasa pentadbirannya yang diteruskan oleh perdana menteri sekarang.
“Tun M lupa bahawa inisiatif pengangkutan awam beliau adalah hanya melibatkan Aliran Transit Ringan (LRT) atau perkhidmatan bas Intrakota adalah projek yang terpaksa ‘diselamatkan’ oleh kerajaan.
“Tetapi MRT adalah projek kerajaan sepenuhnya yang disiapkan dibawah bajet sebenar iaitu hanya RM21 bilion berbanding kos sebenar RM23 bilion.
“Sejak perkhidmatan MRT dilancarkan Najib dengan jayanya, pembangkang tiba-tiba membuat pusingan U dan menumpang glamour,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Chandrakumanan, pembangkang tidak seharusnya iri hati dengan kejayaan PM Najib jika mereka melaksanakan projek di Pulau Pinang dan Selangor malangnya ia tidak berlaku.
Bekas Naib Presiden myPPP itu berkata, projek MRT juga berjaya menangkis fitnah pembangkang bahawa kerajaan Pusat BN tidak mahu membantu negeri pembangkang dalam hal pembangunan.
“Tun M sudah lupa bahawa Projek Hidroelektrik Bakun yang terjejas akibat kemelesetan ekonomi dunia hanya menjadi realiti dibawah kepimpinan Najib berbanding dibawah kepimpinan Tun M rakyat Sabah dan Sarawak dinafikan bekalan air bersih.
“Jika semua ini boleh dilakukan dalam masa singkat sembilan tahun, sudah pasti Najib akan membawa pelbagai kejayaan untuk rakyat dan tanahair jika diberi mandat untuk satu lagi penggal menerajui kerajaan.
“Propaganda demi propaganda dan penipuan pembangkang semakin terbongkar tetapi tiada tanda insaf dalam kalangan pembangkang,” tegasnya. – Malaysiagazette