Hishammuddin yang juga Anggota Parlimen Sembrong berkata beliau masih lagi mahu mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong, Johor.
“Itu saya lihat seperti ‘budak-budak’ mencabar saya bertanding di Parlimen Langkawi, maka saya hendak memperingatkan kepada Dr Mahathir bahawa beliau yang menawarkan dirinya sendiri untuk bertanding di Pekan, Pahang.
“Saya tidak pernah menawarkan diri saya untuk bertanding di Langkawi dan saya cukup selesa di Sembrong, jadi tidak perlu saya jawab lebih daripada itu,” katanya ketika diminta mengulas isu beliau dicabar untuk bertanding pada PRU akan datang di kawasan Parlimen Langkawi.
Hishammuddin berkata beliau tidak pernah menyatakan hasrat untuk bertanding kerusi Parlimen Langkawi.
“Apa yang saya nyatakan hari itu dia yang hendak bertanding di Pekan, bertandinglah, tapi itu hasrat dia (Dr Mahathir), saya tidak pernah menyatakan hasrat saya untuk bertanding di Langkawi.
“Oleh itu, saya rasa amat kecewa pada seorang ahli politik yang sudah veteran dan saya tidak mahu melayan lagi benda-benda sebegini,” katanya.
Pada Ahad lepas, Hishammuddin menyifatkan kenyataan Mahathir untuk bertanding di Pekan pada PRU akan datang sekadar kenyataan bersifat populis.
Hishammuddin juga melihat kenyataan itu bertujuan mengganggu tumpuan anggota UMNO kerana dibuat ketika UMNO bahagian sedang sibuk mengadakan persidangan perwakilan.- BERNAMA