KUALA LUMPUR – Penyanyi kelahiran Malaysia yang mencipta nama di Amerika Syarikat (AS), Yuna terus mencipta nama di persada seni antarabangsa apabila menjadi penghias muka depan sisipan fesyen bertemakan busana muslimah dalam majalah terkenal, Vogue Arabia edisi Julai/Ogos ini.
Foto bertajuk Hijabi Crush itu menampilkan memaparkan Yuna mengenakan busana rona kelabu ciptaan pereka tempatan, Hatta Dolmat dengan efek tudung melayang menambahkan lagi elemen dramatik.
Penyanyi lagu Dan Sebenarnya itu berkongsi rasa gembira melalui catatan pada status Instagram.
“Saya terlampau teruja. Foto saya dimuatkan dalam terbitan Julai/Ogos majalah Vogue Arabia yang menampilkan Jourdan Dunn sebagai penghias kulit depan manakala saya pada bahagian dalam,” katanya.
Sambil berjenaka, Yuna menambah, dia berharap dapat menjadi penghias muka depan majalah fesyen popular itu, suatu hari nanti.
Sebelum ini, Yuna menarik perhatian ramai apabila berkongsi pertemuannya dengan lagenda muzik, Quincy Jones yang pernah menerbitkan album mendiang Michael Jackson pada pelancaran program JBL Audio E55BT Edisi Quincy di Los Angeles, baru-baru ini.
“Pemuzik terulung! Saya seperti tidak percaya dapat melakukannya!
“Saya sangat bertuah dapat bercakap dengan Jones mengenai artis kontemporari yang memberinya inspirasi pada majlis itu,” luah Yuna.
Jones melalui akuan Facebook turut memuji Yuna yang dilihatnya memberi inspirasi kepada bakat baharu. – MalaysiaGazette