DHAKA – Bayi kembar yang dilahirkan dengan tengkorak bercantum akan menjalani pembedahan yang sukar dan berisiko untuk memisahkan mereka, menurut seorang pakar bedah
Lantaran itu, Dr. Ruhul Amin memohon bantuan daripada pakar perubatan global untuk bersama-sama menyertai pembedahan itu.
Ketua Pakar Bedah Paediatrik Universiti Perubatan Bangabandhu Sheikh Mujib berkata, para doktor sedang menentukan sama ada bayi kembar perempuan berusia setahun itu dilahirkan dalam keadaan sihat atau sebaliknya, juga mengenal pasti kemungkinan berkongsi otak atau tidak.
Keadaan bayi-bayi itu akan menentukan potensi proses pembedahan bagi memisahkan mereka.
“Ia merupakan proses pembedahan yang teliti dan sensitif. Kami sedang menilai tahap kesihatan mereka dan cuba mendapatkan pakar dari seluruh dunia untuk mendapatkan nasihat dan bantuan,” katanya.
Beliau memberitahu, ibu bapa bayi kembar tersebut merupakan guru sekolah, yang datang ke Dhaka sebaik sahaja Rabia dan Rukia dilahirkan bagi meminta bantuan perubatan.
Amin berkata, anak kembar itu kelihatan sihat dan boleh bermain tetapi beliau memerlukan masa untuk mengkaji keadaan mereka untuk mengurangkan risiko pembedahan sebanyak yang boleh.
Bapa kembar itu, Rafiqul Islam berkata, mereka tidak tahu akan mendapat anak kembar kerana semasa imbasan dilakukan tidak ada tanda-tanda kelainan.
Doktor hanya memberitahu bayi mereka memiliki kepala yang lebih besar,” katanya.
Ibu bapa kembar itu mahu anak mereka menjalani kehidupan yang lebih baik walaupun pembedahan yang bakal dijalankan berisiko. – MalaysiaGazette