Mohd Ghauth Yusuff

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu segera menyiasat pengusaha tempatan produk sejuk beku yang mencampurkan daging kambing dan babi import dalam satu kontena.

Gesaan itu dibuat Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Johor yang menyifatkan tindakan pengusaha terbabit melanggar syarat permit sebagai biadab dan mengelirukan umat Islam.

Menurut Yang Dipertuanya, Mohd Ghauth Yusuff, SPRM tidak perlu menunggu lama untuk bertindak ke atas syarikat berkenaan kerana Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) telah mengesahkan salah laku pengusaha terbabit.

Katanya, MAQIS mendapati pengusaha itu telah melanggar syarat permit yang hanya membenarkan mengimport daging dari Australia.

“Kita menyampaikan laporan ini kepada SPRM Johor kerana kes ini berlaku di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) pada 12 Julai lalu.

“Isu ini melibatkan orang Islam, yang merasakan dengan perbuatan penguasaha biadab itu boleh mengelirukan masyarakat Islam khasnya di Johor Bahru untuk makan daging import dari luar negara,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Kata Mohd Ghauth, walaupun tindakan telah diambil atas kesalahan mengimport tanpa permit mengikut Seksyen 11(1) Akta MAQIS 2011, tetapi SPRM perlu menyiasat bagaimana permit berkenaan disalahgunakan.

Dalam pemeriksaan pada 12 Julai lalu, MAQIS menemui 160 kotak daging babi disusun secara bercampur dengan 1,142 kotak daging kambing dalam kontena pertama, selain 30 tan daging kambing, masing-masing pada kontena kedua dan ketiga.

Bagaimanapun, kontena itu disahkan mempunyai permit untuk membawa daging kambing dari Australia sahaja, bukan dari negara lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast