KUALA LUMPUR – Sime Darby Bhd. mengumumkan persediaannya bagi penyenaraian anak syarikat peladangan dan hartanah menjelang hujung tahun ini dengan menampilkan tiga pengerusi baharu serta kepimpinan kanan bagi ketiga-tiga anak syarikatnya.

Antaranya dengan pelantikan Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah sebagai pengerusi manakala Jeffri Salim Davidson Ketua Eksekutif Kumpulan yang baharu menggantikan Tan Sri Bakke Salleh.

Seperti yang pernah diumumkan Bakke sebelum ini yang mana setiap anak syarikat akan mempunyai pengerusi dan ketua pegawai eksekutif sendiri, konglomerat itu mengumumkan Sime Darby Plantation Bhd. bakal menerima pengerusi baharu iaitu Tan Sri Abdul Ghani Othman manakala Bakke dilantik sebagai timbalan pengerusi eksekutif serta pengarah urusan.

Dalam pada itu, Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar dilantik sebagai Pengerusi Sime Darby Property Bhd. manakala bekas Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Amrin Awaluddin dilantik sebagai Pengarah Urusan.

Datuk Lawrence Lee Cheow Hock dilantik sebagai Pengarah Urusan Sime Darby Motors, Scott William Cameron pula dilantik sebagai Pengarah Urusan Sime Darby Industrial sementara Timothy Lee Chi Tim dilantik sebagai Pengarah Urusan Sime Darby Logistics.- MalaysiaGazette