Chua Tee Yong

SEGAMAT – Anggota Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong menafikan dakwaan pembangkang bahawa terdapat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional dalam daerah Segamat menjadi Ahli Majlis di daerah itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, dakwaan itu jelas merupakan satu fitnah yang sengaja ditimbulkan menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Dalam Segamat ada empat ADUN BN iaitu Mohd Azahar Ibrahim (Tenang), Datuk Ayub Rahmat (Kemelah), Norshida Ibrahim (Buloh Kasap) dan Lau Chin Hoon (Pemanis) tetapi mereka semua bukan Ahli Majlis,” katanya.

Chua berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Usahawan MITI dan Agensi 2017 di Dataran Labis, di sini, Jumaat malam.

Beliau mengulas dakwaan Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara, Shazni Munir Mohd Ithnin bahawa terdapat ‘orang politik’ di daerah Segamat yang menjadi ADUN dan pada masa sama menjadi Ahli Majlis di Majlis Daerah Segamat (MDS).

Shazni Munir membuat dakwaan tersebut dalam ‘Jelajah Bina Semula Negara’ Invoke di Segamat pada 22 Julai lepas.

Chua berkata, beliau memandang dakwaan terbabit sebagai perbuatan syok sendiri dan gerak kerja yang menjurus kepada menabur fitnah dalam mengelirukan rakyat demi memenangi pilihan raya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast