KENYA – Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan 17 orang cedera dalam rempuhan di stadium terbesar Afrika Selatan, kata pegawai bola sepak.
Ia berlaku semasa perlawanan antara kelab bola sepak Kaizer Chiefs dan Orlando Pirates di Johannesburg.
Orlando Pirates berkata, rempuhan itu berlaku apabila para penonton berasak-asak memasuki pintu masuk utama stadium FNB yang berkapasiti 87,000 orang.
Pihak berkuasa membenarkan perlawanan pra-musim itu diteruskan.
Pegawai keselamatan awam, Michael Sun dalam Twitter berkata, semua pintu di stadium telah dibuka untuk memastikan kawalan orang ramai dan keadaan selepas rempuhan itu adalah terkawal.
Daripada 17 cedera, ada beberapa orang yang dilaporkan dalam keadaan kritikal, pengurus stadium berkata.
Reuters berkata, liputan televisyen secara langsung semasa perlawanan yang menyaksikan Kaizer Chiefs menang 1-0, tidak menunjukkan sebarang gangguan yang jelas.
Stadium tersebut menjadi lokasi pertama Nelson Mandela berucap selepas dibebaskan dari penjara pada tahun 1990.
Ia dibina semula untuk Piala Dunia bola sepak 2010, yang mana ia dikenali sebagai Soccer City dan menjadi tuan rumah perlawanan akhir antara Sepanyol dan Belanda.
Pada April 2001, 43 penyokong meninggal dunia dalam kejadian rempuhan semasa perlawanan antara Kaizer Chiefs dan Orlando Pirates di stadium Ellis Park di Johannesburg. – MalaysiaGazette