KUALA LUMPUR – Filem bertajuk ‘Hijabsta Ballet’ yang mengetengahkan konflik antara cinta terhadap ballet dan agama telah menarik minat pengedar filem Jepun.

“Pihak daripada negara Jepun telah pun meminta kita untuk membuat sarikata dalam bahasa Jepun dan sekarang kita masih lagi dalam proses menyiapkannya,” kata pengarahnya, Syed Zulkifli Syed Masir kepada Bernama.

Beliau berkata pihaknya juga telah berjumpa dengan beberapa pihak yang boleh membantu mengetengahkan filem ini ke luar negara.

“Setakat ini sudah ada pihak dari China, Australia, Korea, Jepun dan United Kingdom yang berminat,” katanya.

Filem  ini yang berdurasi kira-kira 120 minit mengetengahkan pelakon baharu iaitu Puteh Maimun Zahra yang merupakan seorang penari profesional bagi membawa watak utamanya Adele.

Ia dijadual menemui penonton Khamis ini.

Syed Zulkifli atau lebih dikenai sebagai Syed Zul Tojo yang juga merupakan Naib Presiden Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM) berkata subjek pemakaian hijab yang jarang diangkat dalam mana-mana filem menjadi kekuatan dalam menempatkan filem ini ke peringkat lebih tinggi.

“Kita telah menayangkan filem ini kepada lebih 4,000 orang yang berusia antara 18 hingga 26 tahun melalui beberapa majlis pratonton dan rata-rata mereka memberi penarafan antara 7/10 hingga 10/10, satu maklum balas yang saya kira positif,” ujarnya.

Tambahnya beliau akan turut mencuba nasib untuk mengetengahkan filem ini ke festival filem antarabangsa bagi mengukur tahap prestasi karya beliau itu.

Hijabsta Ballet Filem mengisahkan keinginan seorang remaja berusia 17 tahun yang bernama Adele  yang bercita-cita untuk menjadi penari ballet terkenal walaupun dia sering memakai hijab.

Malangnya cara  pakaiannya itu menerima tentangan dari rakan-rakan serta gurunya selain segelintir anggota masyarakat termasuk ekstremis agama.

Filem ini mengetengahkan tema perjuangan, cinta, kepercayaan dan kemahuan turut dibintangi Aida Khalida, Betty Banafe dan  Aman Graseka serta beberapa pelakon luar negara.

— BERNAMA