Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar diiringi Pengerusi Yayasan Jamin, Datuk Sohaimi Shadan (kanan) bergambar selepas melancarkan Yayasan Jamin di Bandar Baru Selayang. foto SAFWAN MANSOR, 30 JULAI 2017.

SELAYANG – Akiviti kebajikan Yayasan Jamin dilihat membantu meringankan beban rakyat di kawasan bandar selain membantu meningkatkan kualiti pendidikan generasi muda.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar memuji usaha diambil oleh pengerusi yayasan berkenaan, Datuk Sohaimi Shahadan.

“Yayasan ini saya lihat akan dan telah mengadakan program dengan memberikan sumbangan kebajikan dan juga penekanan mengenai motivasi pendidikan.

“Ini satu program cukup mulia terutamanya dalam menjaga masyarakat dalam bandar untuk kita cuba meringankan beban mereka dan memberikan motivasi pendidikan kepada anak-anak mereka supaya anak-anak ini terus mencapai kejayaan dalam pendidikan mereka,” kata Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor selepas pelancaran Yayasan Jamin di sini malam tadi.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus.

Menurut Sohaimi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Yayasan Jamin bakal menjadi jambatan antara rakyat dengan kerajaan dalam meringankan beban warga bandar sekitar Selayang.

Sohaimi semasa majlis pelancarannya hari ini berkata, yayasan tersebut akan memberi penekanan berasaskan pendidikan, keagamaan dan tanggungjawab sosial.

“Kita menjadi jambatan sebenarnya dimana saya nak jadikan yayasan ini sebagai satu platform NGO mesra rakyat pro kerajaan.

“Kita akan mengadakan program engagement bersama rakyat dalam bentuk program dan perancangan aktiviti yang boleh mendekati rakyat,” katanya.

Menurut Sohaimi, sebanyak 132 program telah dimulakan melibatkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

“Program-program ini akan dilaksanakan dalam tempoh setahun bagi kesejahteraan penduduk Selayang,” katanya.

Suhaimi berkata, yayasan yang mengambil nama datuknya itu mula digerakkan sejak awal Januari tahun ini.

“Kita juga akan menjadi pusat penerangan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat,” ujarnya.

Pada majlis tersebut juga, Sohaimi turut mengumumkan Watikah Ikon Motivasi kepada pakar motivasi terkenal, Tengku Asmadi Tengku Mohamed disamping melancarkan program motivasi Smart Succes yang akan diadakan di sekolah sekitar Selayang dibawah Pejabat Pendidikan Daerah.

Selain itu, Yayasan Jamin juga menyerahkan watikah lantikan kepada Maahad Tahfiz Daruk Ulum Az Zahra bagi menerima pelajar luar negara yang ingin melanjutkan pengajian melalui yayasan tersebut. – MalaysiaGazette