Reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melakukan gimik perasmian Perhimpunan Veteran ATM 2017 sambil diperhatikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien (kiri) di Pusat Pameran Dan Konvensyen Antarabangsa MINES (MIECC), Seri Kembangan, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 31 JULAI 2017.

SERI KEMBANGAN – Pemimpin Pakatan Harapan (PH) dicabar untuk membantu dan membela kebajikan golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlebih dahulu sebelum menuduh kerajaan menabur ‘gula-gula’ pilihanraya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan, tuduhan tidak berasas itu bukan perkara baharu malah pembangkang perlu membuktikan usaha mereka sebelum menghentam usaha kerajaan.

“Usaha kita membantu dan membela veteran ATM kita sejak dulu lagi, jadi orang nak menuding jari kata gula-gula pilihan raya, pembangkang kena cari kaedah bagaimana mereka nak lakukan ini (bela kebajikan).

“Cakap memang senang, tapi kita mampu lakukan lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, di mana kita perlu diberi perhatian kepada ancaman-ancaman baharu terpaksa ATM dan kementerian hadapi,” katanya pada sidang media pada Hari Himpunan Veteran 2017 di The Mines International Exhibition & Convention Center (MIECC) di sini hari ini.

Hishammuddin membidas tindakan pemimpin pembangkang yang gemar menyifatkan inisiatif kerajaan khususnya lima insentif untuk golongan veteran ATM sebagai ‘gula-gula’ pilihan raya untuk meraih sokongan politik.

Terdahulu pada majlis sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan lima inisiatif baharu untuk golongan veteran ATM bersempena dengan sambutan Hari Pahlawan hari ini.

Antaranya Bantuan Bakti Negara (BBN) dengan pemberian RM1,200 setahun, Skim Anuiti Veteran (SAVE) untuk pencen bulanan, menambah baik Skim Pencen Hilang Upaya dari RM65 kepada dari RM500 sehingga RM2,000, menambah baik Insentif Veteran Kelainan Upaya kepada RM1,000, menambah kouta tambahan khas haji dari 100 kepada 400 jemaah serta peruntukan RM5 juta bagi mengisi kutipan tabung Hari Pahlawan 2017. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast