KUALA LUMPUR – Kementerian Luar mengakui wujud faktor birokrasi melibatkan penyelarasan beberapa pihak berkuasa di Indonesia termasuk pemimpin tempatan, daerah dan Pejabat Imigrasi negara itu dalam isu Kartu Izin Tinggal Terbatas (KITAS).

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang secara peribadi menyifatkan isu itu penting dan mendesak berkata, Education Malaysia Indonesia (EMI) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi telah diminta supaya membuat kajian terperinci supaya permasalahan tersebut ditangani dengan lebih efektif.

“Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia prihatin dan sentiasa mengambil peduli kebajikan serta permasalahan yang dihadapi pelajar Malaysia di Indonesia, termasuk permasalahan berhubung KITAS.

“Berdasarkan laporan EMI, permasalahan ini timbul berikutan ketidakseragaman pengurusan KITAS pelajar asing oleh beberapa institusi pengajian di Indonesia, selain terdapat faktor birokrasi yang melibatkan pelarasan,” katanya di Parlimen semalam.

Beliau berkata demikian menjawab rungutan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul bahawa pelajar Malaysia di Indonesia terpaksa membayar Rupian 5 juta (RM1,606.50) untuk setiap kali pembaharuan, malah difahamkan dikenakan denda RI100,000 (RM32.12) untuk sehari jika tempoh KITAS tamat.

Menurut Reezal Merican, kementeriannya menyambut baik pandangan dan cadangan Ahli Parlimen Sungai Petani dan beranggapan satu kertas kajian bagi memastikan pelajar Malaysia menikmati kemudahan sama seperti diberikan kepada pelajar Indonesia yang menuntut di negara ini diadakan.

Cadangan itu, kata beliau, akan diteliti lebih lanjut oleh Kementerian Pendidikan Tinggi kerana melibatkan isu pelajar Malaysia dan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi antara kedua-dua negara.

“Saya ingin tegaskan dan beri jaminan, kita akan mengangkat isu permasalahan berhubung KITAS ini ke peringkat Joint Commission for Bilateral Cooperation (JCBC) yang diketuai Menteri Luar negara-negara terbabit yang akan berlangsung Ogos ini.

“Saya juga beri jaminan perkara ini akan diangkat ke rundingan tahunan antara Malaysia dengan Indonesia dan sebuah mekanisme rundingan dua hala peringkat tertinggi diketuai dan dipimpin kedua-dua negara,” katanya.

Johari sebelum ini memberitahu Parlimen, urusan untuk memperbaharui KITAS boleh dilakukan oleh pelajar itu sendiri atau melalui ejen.

Bagaimanapun, ujar beliau, jika dilakukan sendiri, ia mengambil masa kerana pelajar berkenaan harus berurusan dengan Ibu Pejabat Imigresen Indonesia di Jakarta.

Kata Johari, jika KITAS tamat tempoh, pelajar Malaysia dikenakan penalti dan dikira dengan menghitung berapa hari dari tarikh matinya KITAS itu.

“Ini membeban kepada pelajar Malaysia di sana. Adakah Duta Besar Malaysia di Indonesia pernah ajukan masalah ini kepada kementerian? Jika belum, kementerian mesti membuat kajian bagaimana agar satu persefahaman dapat dicapai antara kerajaan Malaysia dengan Indonesia supaya pelajar Malaysia menikmati kemudahan yang sama seperti kemudahan yang kita berikan kepada pelajar Indonesia yang menuntut di sini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast