Operasi MPAJ roboh gerai Kampung pasir kecoh

HULU KLANG – Tindakan penguat kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) merobohkan sebanyak 37 gerai di persimpangan selekoh Kampung Pasir, Ukay Perdana hari ini kecoh.

Sekumpulan peniaga dan penduduk termasuk ahli-ahli UMNO di cawangan ‘berperang mulut’ dengan wakil pihak berkuasa tempatan bermula pagi tadi.

Akibatnya, seorang individu ditahan polis ketika operasi yang disertai kira-kira 100 penguat kuasa MPAJ dan dan Pejabat Tanah Daerah (PTD) Gombak.

Operasi merobohkan gerai terbabit ditangguhkan sehingga perbincangan antara Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib, Gabungan NGO-NGO 1Malaysia (GN1M) dan PTD Gombak diadakan semula.

Sebelum itu, PTD Gombak mengeluarkan notis arahan pengosongan gerai pada 20 Jun lalu bagi memberi laluan kepada pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE).

Berdasarkan notis tersebut, peniaga premis di kawasan rizab jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu diberikan peluang untuk berniaga selama 26 tahun di atas tanah milik kerajaan bermula 1991 hingga 2017.

Terdahulu, beberapa minggu lepas Ketua UMNO Cawangan Batu 7, Hulu Kelang, Mohd. Nazlee Tan Sri Sir Aziz Yeop menegaskan pihaknya akan berdepan dengan MPAJ dan kerajaan negeri yang cuba merobohkan lot dewan dan kedai tersebut.

Menurutnya, sebuah dewan kecil dan hampir 37 lot kedai di tepi jalan masuk ke Ukay Perdana yang berusia lebih 20 tahun akan dirobohkan selepas Pejabat Tanah Gombak (PTG) menghantar notis terakhir untuk mengosongkan kawasan tersebut sebelum 31 Julai. – MalaysiaGazette

‘Jangan berani usik dewan kami’ – Mohd. Nazlee