Semalam, perjuangan kira-kira 500 penduduk Kampung Mutiara, Batu Ferringhi di sini, mempertahankan kampung yang didiami mereka sejak lebih 50 tahun daripada dirobohkan.

PULAU PINANG – Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid menyifatkan dasar perumahan kerajaan DAP Pulau Pinang tidak jelas menyebabkan penduduk Kampung Mutiara, Batu Ferringhi di sini menjadi mangsa pengusiran.

Menurut beliau, perkara itu menyebabkan tuan tanah kampung berkenaan menggunakan mahkamah untuk mengusir penduduk tanpa belas kasihan serta tanpa sebarang pampasan.

Ujarnya, pemilik tanah bertindak mendapatkan perintah mahkamah terlebih dahulu untuk mengusir penduduk seperti kelaziman yang berlaku dalam proses kelulusan pelan merancang kerajaan negeri membabitkan tanah-tanah yang dipertikaikan.

Sedangkan, tegasnya, pemilik tanah itu tidak pernah mengemukakan pelan merancang di atas tanah berkenaan kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang sebelum ini.

“Pemilik tanah tidak terikat dengan sebarang syarat dan garis panduan kerajaan negeri kerana sememangnya tidak ada syarat atau garis panduan yang mengikatnya dengan kes-kes sebegini.

“Akibatnya, penduduk asal Kampung Mutiara telah diusir tanpa sebarang pampasan dan tempat tinggal lain yang disediakan pemilik tanah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sehubungan itu, Jahara yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar melahirkan kebimbangan kelemahan dalam dasar pemajuan perumahan kerajaan negeri itu menjadi alasan kepada tuan tanah atau pemaju lain pada masa depan untuk mengusir penduduk dengan menjadikan Kampung Mutiara sebagai contoh.

Mengulas nasib penduduk Kampung Mutiara yang diberi tempoh tiga bulan bagi mengosongkan rumah mereka, Jahara berkata, kerajaan negeri sepatutnya mengambil tanggungjawab membantu penduduk itu dengan menubuhkan tabung khas.

Selain itu, katanya, wang terkumpul dalam Tabung Amanah Perumahan Bumiputera sejak 2009 juga boleh digunakan bagi membela nasib lebih 70 penduduk kampung berkenaan yang diusir.

“Wang itu boleh digunakan sebagai kos perpindahan penduduk yang diusir dan membeli semula tanah yang diduduki penduduk kampung itu sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.

“Malah, wang itu juga boleh digunakan bagi menampung kos penyewaan rumah sementara sehingga penduduk berkenaan mendapat rumah kekal seperti dijanjikan kepada mereka,” katanya.

Semalam, perjuangan kira-kira 500 penduduk Kampung Mutiara, Batu Ferringhi di sini, mempertahankan kampung yang didiami mereka sejak lebih 50 tahun lalu sia-sia selepas mereka diarahkan mengosongkan rumah berkenaan dalam tempoh tiga bulan.

Pertikaian berkenaan tanah itu tercetus sejak tahun lalu selepas mahkamah mengarahkan penduduk mengosongkannya berikutan keputusan tuntutan yang memihak kepada pemiliknya yang membeli tanah tersebut pada 1991.- MalaysiaGazette