Datuk Muhamad Farid Saad.

PULAU PINANG – Kegagalan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menyerahkan wang hasil kutipan caruman saliran kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri menyebabkan banyak projek pencegahan banjir bagi kawasan yang sangat memerlukan tidak dapat dilaksanakan segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, Datuk Muhamad Farid Saad berkata, perkara itu dapat dilihat selepas empat kawasan di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dilanda bencana banjir sebanyak 21 kali tahun lalu.

Tambahnya, tindakan MPSP menyimpan wang kutipan caruman saliran yang sepatutnya diserahkan kepada JPS untuk ‘menampakkan aliran tunainya cantik’ mengakibatkan kesusahan dan kepayahan kepada penduduk Seberang Perai.

Malah, ujar beliau, tindakan MPSP menyimpan dan tidak menyerahkan wang kutipan caruman saliran itu juga bercanggah dengan Arahan Amanah yang mengkehendaki semua terimaan caruman saliran diakaunkan ke dalam Akaun Amanah Saliran yang diselenggara Pengarah JPS negeri sebagai Pegawai Pengawal.

“Apakah MPSP ada tujuan dan maksud lain untuk tidak menyerahkan sepenuhnya wang hasil kutipan caruman saliran kepada JPSPP?”

“Mengikut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), MPSP telah meluluskan perbelanjaan wang hasil kutipan caruman saliran itu tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan Pegawai Pengawal Akaun Amanah Saliran.

“Mungkinkah MPSP telah membelanjakan sebahagian wang caruman tersebut untuk tujuan-tujuan lain selain saliran dan perparitan atau tebatan banjir ?” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

LKAN 2017 Siri Satu yang dikeluarkan Isnin lalu menyatakan MPSP tidak menyerahkan kesemua wang hasil kutipan caruman saliran kepada JPS negeri untuk diakaunkan membabitkan jumlah terkumpul sehingga Jun lalu sebanyak RM22.09 juta.

Menurut laporan itu, bagi tempoh 2008 hingga Jun tahun lalu, sebanyak RM63.39 juta dikutip MPSP dan daripada jumlah itu, hanya RM2.2 juta diserahkan kepada JPS negeri.

Menurut Muhamad Farid, kegagalan MPSP mematuhi arahan pembayaran itu mencalar integriti pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan yang merupakan cabang Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Apatah lagi, ujar beliau, MPSP sebelum ini juga terpalit dengan kontroversi pembelian anugerah palsu daripada Europe Business Assembly (EBA) .

“MPSP tidak menunjukkan sikap akauntabiliti mereka selaras dengan slogan Cekap, Akauntabliti dan Telus (CAT) yang menjadi dasar Kerajaan DAP Pulau Pinang yang ternyata sudah mati.

“Apakah kini MPSP sedang mengejar Anugerah Simpanan Tunai Tertinggi oleh sebuah PBT pula?” katanya.- MalaysiaGazette