Istana Kehakiman

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan semalam menolak permohonan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan dua pihak lain untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan seorang kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf dibinkan dengan nama bapanya.

Peguam Nizam Bashir, yang mewakili pasangan berkenaan dan kanak-kanak terbabit dalam kes itu berkata, panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan itu atas alasan tidak terdapat keadaan khusus untuk membenarkan penangguhan itu.

Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Hakim Puan Sri Zaleha Yusof.

Peguam Kanan Persekutuan Mazlifah Ayob, yang mewakili JPN, Ketua Pengarah JPN dan Kerajaan Malaysia, memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan penangguhan bagi pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan yang diumumkan pada 25 Mei tahun ini sementara menungggu keputusan tentang permohonan mereka mendapatkan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan.

Dalam penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan yang dikeluarkan pada 25 Julai tahun ini, Abdul Rahman berkata, Ketua Pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa seseorang kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf.

​​​​​​​Pada 25 Mei tahun ini, panel sama membenarkan rayuan dikemukakan pasangan itu, yang memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi memastikan Ketua Pengarah JPN menukar perkataan “Abdullah” sebagai bin untuk nama kanak-kanak itu kepada nama bapanya dalam sijil kelahiran kanak-kanak berkenaan.

Dalam penghakiman itu, Abdul Rahman berkata bidang kuasa ketua pengarah berkenaan adalah bersifat sivil dan hanya terhad kepada dalam menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak itu telah memenuhi syarat yang terkandung dalam Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) yang meliputi semua kanak-kanak tidak sah taraf melibatkan orang Islam dan bukan Islam.

Beliau berkata fatwa bukan perkara yang wajib diterima oleh undang-undang dan tidak boleh dijadikan asas undang-undang oleh Ketua Pengarah JPN dalam menentukan nama bapa seseorang anak yang tidak sah taraf mengikut Seksyen 13A (2) BDRA.

Sementara itu, ketika dihubungi Bernama, Nizam berkata, Mahkamah Rayuan mengambil maklum bahawa permohonan pemohon bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu itu bukan sesuatu yang tidak berasas, tetapi penagguhan tidak diperlukan kerana JPN boleh membatalkan sebarang pendaftaran atau pembetulan yang akan memberi kesan terhadapnya dalam mendapatkan keputusan Mahkamah Rayuan.

“Kami memaklumkan kepada mahkamah bahawa kami tidak akan menguatkuasakan keputusan Mahkamah Rayuan untuk sementara waktu sehinggalah keputusan mengenai permohonan kebenaran untuk merayu atau mendapatkan prosiding di Mahkamah Persekutuan dibuat,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa mahkamah juga tidak mengeluarkan perintah tentang kos. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast