MOSCOW – Sembilan pekerja lombong berlian masih hilang selepas berlaku limpahan air bawah tanah ketika lebih dari 100 pekerja berada di dalamnya.
Alrosa, pengeluar berlian terbesar di Rusia dalam satu kenyataan berkata, pasukan penyelamat sedang berusaha mengesan pekerja-pekerja yang hilang dalam lombong Mir di rantau Sakha kira-kira 4,160 kilometer di timur Moscow.
Air salah satu stesen pengepam lombong itu bocor dan melimpah keluar daripada kawah bersamaan kira-kira 300,000 meter padu air, atau 120 kolam berukuran Olimpik, kata Kementerian Kecemasan.
Kemalangan itu dipercayai disebabkan oleh peningkatan “aliran air yang tidak terkawal” dari kawah terbiar di dalam lubang bawah tanah, kata Alrosa.
Ia berkata ini disebabkan oleh proses geologi secara tiba-tiba dan membuang batuan di kawah tetapi menegaskan semua peralatan “lombong telah diuji secara teratur.”
Cawangan Jawatankuasa Penyiasat rantau Sakha dalam satu kenyataan berkata, ia sedang melakukan pemeriksaan ke atas kemungkinan pelanggaran keselamatan di lombong.
Televisyen Rusia berkata, operasi menyelamat di lombong Mir terhalang oleh pemotongan elektrik yang menghentikan sistem daripada beroperasi.
Alrosa berkata, 133 orang telah dipindahkan dari lombong itu. Dua orang dibawa ke hospital dengan kecederaan ringan, kata kementerian kesihatan wilayah. – MalaysiaGazette