Alan Cayetano

MANILA – Menteri-menteri luar Asia Tenggara akan menyampaikan bantahan kepada Korea Utara supaya menghentikan ujian peluru berpandu balistik antara benua yang telah meningkatkan kebimbangan global.

Dalam ucapannya untuk secara rasmi membuka Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean ke-50, Setiausaha Luar Filipina, Alan Cayetano berkata, bantahan itu dibuat demi kepentingan bersama dan serantau.

Para menteri memulakan mesyuarat di sini pada hari ini dengan menekan satu konsensus tentang Pyongyang, yang telah melanggar sekatan dengan menjalankan dua ujian peluru berpandu baru-baru ini.

“ASEAN akan menghantar bantahan padu kepada Korea Utara berhubung kebimbangan di Semenanjung Korea,” katanya.

Jelas beliau, terdapat permintaan dalam kalangan menteri supaya mengadakan perbincangan dua hala dengan Korea Utara tetapi tidak mahu ia kelihatan seolah-olah tiada sentimen dan konsensus.”

“Jadi, kita memutuskan untuk tidak melakukan perbincangan tetapi menghantar mesej kepada Korea Utara,” katanya.

Cayetano berkata, para menteri juga mendapat arahan dari Amerika Syarikat untuk mengurangkan penglibatan dan pertukaran diplomatik dengan Pyongyang.

“(Amerika) sebenarnya tidak mengemukakan cadangan rasmi, jadi ia baru saja diumumkan. Tetapi seperti yang dijangkakan, ada pandangan bagaimana kami boleh mendengar (Korea Utara) atau menghadapi mereka jika negara itu tidak berada di sana?,” katanya.

Korea Utara dijangka menyertai 26 negara lain apabila Forum Wilayah ASEAN diadakan pada hari Isnin ini.

Amerika Syarikat dan China sedang berusaha untuk memberi maklum balas terbaik terhadap pelancaran peluru berpandu antara benua minggu lalu.

Pelancaran itu menimbulkan kebimbangan tentang keupayaan senjata nuklear Korea Utara.

Setiausaha Negara Amerika, Rex Tillerson dijadual tiba di Manila hari ini bagi meningkatkan tekanan ke atas Korea Utara dengan desakan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk melaksakan sekatan lebih keras ke atas Pyongyang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast