SERDANG – Seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta maut dalam satu kemalangan melibatkan lima kenderaan di Lebuh Raya Besraya, Serdang Raya semalam.
Kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 6.30 petang di kilometer 2.8 Lebuh Raya Besraya arah selatan (berhadapan stesen KTM Komuter) di Serdang.
Mangsa pertama dikenalpasti sebagai lelaki warga emas berusia 77 tahun yang menunggang motosikal Modenas mati di tempat kejadian.
Manakala pemandu kenderaan Honda HRV pula adalah lelaki berusia 32 tahun meninggal dunia kira-kira jam 9 malam di Hospital Serdang setelah dirawat.
Pemangku Ketua Polis daerah Serdang, Suprintendan Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku apabila pemandu lori simen jenis Nissan dari arah Kajang menghala ke Kuala Lumpur di kilometer 2.8 Besraya cuba mengelak sebuah kereta yang memasuki laluannya di lorong kanan secara tiba-tiba.
Katanya, tindakan kereta yang tidak dapat dipastikan nombor pendaftarannya mengakibatkan lori hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan.
“Kemudian lori itu melanggar semua kenderaan yang terlibat di laluan sama, Kuala Lumpur menghala ke Seremban, menyebabkan dua mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan pagi tadi.
Bagaimanapun maklumat lanjut mengenai status keadaan dua lagi kenderaan Proto Saga dan kereta jenis Nissan serta pemandunya tidak dinyatakan beliau.
Tambahnya, tiada Kamera Litar Tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Ujarnya, polis bagaimanapun berjaya mendapatkan saksi kejadian bagi membantu siasatan kes kemalangan tersebut.
Keadaan cuaca baik dan aliran trafik lancar semasa kejadian berlaku.
“Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette