PUTRAJAYA – Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat yang berakhir hari ini sebulat suara merumuskan 11 resolusi untuk diberi perhatian oleh semua pihak.
Pengumuman resolusi itu dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Pembentangan Konvensyen, Tan Sri Datuk Dr Nordin Kadi setelah kesemua lima sesi penyampaian dan dialog serta bengkel pada konvensyen tersebut berjaya diselesaikan.
Beliau berkata, resolusi pertama menginsafi peri pentingnya usaha memperkukuh pasak negara dilaksanakan secara berterusan, bukan berkala, maka dengan ini dirumuskan supaya ditubuhkan sebuah Institut Perundingan Diraja (Royal Consultative Institute) dianggotai pakar-pakar yang berupaya menyampaikan nasihat secara objektif, bebas dan berkecuali.
Jelas beliau, institut ini ditempatkan di bawah Penyimpan Mohor Raja-Raja Melayu untuk meneliti dasar-dasar negara daripada pelbagai sudut, menyelidik fakta sedalam-dalamnya dan menganalisis secara objektif berlandaskan kebenaran akan segala perkara yang dipersembahkan kepada Raja-Raja.
“Ia juga memberikan pandangan ikhlas berasaskan ilmu dan nasihat yang seimbang serta penuh ketelitian kepada Majlis Raja-Raja Melayu demi kesejahteraan rakyat dan kepentingan negara yang lebih besar.
“Bertindak sebagai institut yang membantu memantau dan mengkaji keberkesanan pelaksanaan sesuatu titah.
“Kedua adalah menyedari akan pentingnya kekuatan sumber ekonomi bagi membiayai pelbagai inisiatif baru Majlis Raja-Raja Melayu dalam menghadapi cabaran dunia semasa, dirumuskan supaya diwujudkan Tabung Amanah Kebangsaan Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya ketika mengumumkan resolusi tersebut pada majlis penutup konvensyen itu di sini hari ini.
Resolusi itu seterusya diserahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad.
Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat adalah anjuran Panel Perunding Perpaduan Ummah (PPPU), Majlis Dakwah Negara yang diadakan selama dua hari sejak semalam.
Ia julung-julung kali dianjurkan dengan hasrat membuka ruang wacana tentang peranan institusi raja menurut yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan perundangan negara di mana institusi raja berperanan sebagai payung penyatuan dan perpaduan seluruh rakyat Malaysia.
Mengulas lanjut, Nordin berkata, resolusi seterusnya dengan menyedari akan pentingnya kefahaman mengenai Institusi Beraja dijiwai secara meluas, dirumuskan supaya subjek berkaitan raja dan pemerintahan di Malaysia dijadikan silibus wajib di dalam kursus-kursus utama agensi kerajaan dan swasta seperti INTAN, ILKAB, IAB, AKEPT, PLKN, Akademi Tentera dan Polis serta agensi-agensi seumpamanya.
Jelasnya, dirumuskan juga supaya penganjuran konvensyen Memperkukuh Pasak Negara dijadikan program berterusan di semua peringkat pentadbiran sama ada persekutuan atau negeri.
Sementara itu antara resolusi lain:-
- Menginsafi akan perlunya :
– Diwujudkan sesuatu badan di setiap kerajaan negeri untuk memantau penggunaan tanah rizab Melayu di negeri tersebut.
- Diperketatkan syarat penukaran status tanah rezab Melayu untuk aktiviti pembangunan.
-
Gantian tanah rizab Melayu yang dibatalkan statusnya untuk tujuan pembangunan dengan tanah rizab yang baru.
-
Sesuatu tindakan perlu diambil terhadap kerajaan negeri yang tidak menggantikan tanah rizab Melayu yang dibatalkan statusnya.
-
Hutan simpanan yang belum diterokai ditukarkan statusnya kepada tanah rizab Melayu.
-
Pemantauan berkala untuk memastikan tanah rizab Melayu tidak dibatalkan statusnya dengan sewenangnya.
-
Tanah rizab Melayu diletakkan di dalam program wakaf untuk memastikan status tanah tersebut tidak ditukarkan dan juga untuk memastikan tanah tersebut kekal menjadi milik orang Melayu.
-
Kemudahan diberi kepada rakyat yang sukarela menukar status tanah persendirian kepada tanah rizab Melayu bagi meningkatkan saiz tanah rizab Melayu.
Maka Majlis Raja-Raja Melayu disembah pohon supaya berperanan aktif, berterusan dan berkesan memantau penguatkuasaan Kanun Tanah Negara dan Dasar Perumahan untuk memastikan tanah rizab Melayu tidak berkurangan jumlahnya demi kelangsungan penguasaan dan pemilikan orang Melayu terhadap tanah tumpah darah mereka.
- Demi memastikan pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman, Majlis Raja Raja Melayu disembah pohon supaya bertindak memastikan Badan Kehakiman, terutamanya, benar benar bebas dalam menjamin keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
- Menginsafi bahawa bidang pendidikan adalah medium yang telah terbukti berjaya dan berkesan menggerakkan mobiliti sosial dari strata bawah ke atas dalam kalangan masyarakat Malaysia, maka dirumuskan supaya Majlis Raja Raja Melayu berperanan lebih menyerlah dan berkesan dalam semua inisiatif pembangunan pendidikan negara.
- Menginsafi kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara yang dilihat mengalami kemerosotan martabat, demi mengembalikan kedudukan Bahasa Negara pada kedudukannya yang tinggi, dirumuskan agar semua titah rasmi Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong disembah pohon menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap acara negara. Penamaan kawasan perumahan, tempat pelancongan, bangunan dan sebagainya hendaklah dinamakan dalam bahasa Melayu melainkan mendapat titah perkenan pengecualian.
- Demi menjaga kedaulatan Raja-Raja Melayu supaya tidak tercalar, disembah pohon agar Raja-Raja dan kerabat sentiasa memelihara citra, budi dan pekerti mulia dalam semua keadaan.
- Menginsafi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja adalah ketua agama Islam, Duli-Duli Yang Maha Mulia disembah pohon menitahkan Majlis-Majlis Agama Islam memperluaskan peranan dan tanggungjawab, merangkumi perkara-perkara berkaitan sosioekonomi ummah dan mengolah semula kurikulum serta kaedah pengajaran dan pembelajaran pendidikan islam agar lebih menyeluruh dan kontemporari.
- Menjunjung prinsip perkongsian kuasa Raja Berperlembagaan – Demokrasi Berparlimen, amalan nasihat menasihati dipohonkan berlaku secara dua hala antara kerajaan dan Raja.
- Menginsafi Raja itu ibarat pohon, rakyat itu akarnya adalah disembah pohon agar diperbanyakkan inisiatif merapatkan Raja dan rakyat. – MalaysiaGazette