KUALA LUMPUR – Selepas konsert pertamanya pada tahun 1991, ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid kembali mengadakan konsert berskala besar di Stadium Negara malam tadi.
Diberi nama Sheila Majid: The Concert Kuala Lumpur 2017, konsert tersebut mengubati kerinduan peminat penyanyi tersohor itu apabila menampilkan persembahan menerusi rangkaian lagu sejak menceburi dunia seni pada tahun 1985.
Bakal menginjak usia 53 tahun ini, penghibur sensasi ini tetap hebat dan unggul di puncak kelasnya yang tersendiri.
Lebih 4,000 penonton menjadi saksi kecemerlangan Sheila membuktikan usia tidak menghalang dia untuk mengekalkan persembahan berkualiti.
Sebagai penyanyi bertaraf antarabangsa, persembahan isteri kepada komposer Datuk Acis ini memang menghiburkan dan bertenaga serta penonton yang hadir pasti mendapat kepuasan yang diimpikan.
Ibu berana empat anak itu wajar dipuji kerana turut berjaya menghidupkan suasana malam yang ceria dengan celotehnya yang menggelikan hati.
Lebih mempersonakan apabila Sheila tampil anggun dengan tiga persalinan memukau oleh pereka fesyen terkenal, Michael Ong.
Pada malam yang indah itu, Sheila mengimbau kenangan apabila menyampaikan lagu-lagu popular antaranya Pengemis Muda, Memori, Warna, Antata Anyer Dan Jakarta, Dia, Aku Cinta Padamu, Lagenda, Ku Mohon dan Sinaran serta lagu daripada album terbaharu, Boneka.
Sementara itu, konsert itu dianjurkan IME Malaysia diterbitkan oleh More Entertaiment dan disokong oleh syarikat artis Megada Entertainment.
Sheila Majid The Concert menggabungkan sistem audio berkualiti tinggi, 100 para profesional dan ahli muzik terhebat yang diterajui penerbit muzik tersohor, Mac Chew.
Yang menarik, tiket-tiket berharga RM98 hingga RM888 habis dijual dua minggu lalu. – MalaysiaGazette