KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) mendapati ada pihak tidak bertanggungjawab telah menggunakan nama dan logo universiti itu secara tidak sah.
Logo itu dikatakan digunakan pihak terbabit dengan mengeluarkan surat tawaran kemasukan dan menjual sijil yang mempunyai logo UM setelah menghadiri kelas atau program tertentu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Komunikasi Korporat UM, pihaknya turut mengesan berlaku aktiviti hebahan dan sebaran menggunakan logo universiti itu melalui aplikasi Whatsapp, media sosial, broser, laman web dan menerusi agen tidak sah.
“Adalah ditegaskan, semua program yang ditawarkan oleh Universiti Malaya dibuat melalui saluran rasmi universiti dan calon perlu memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan.
“Sebarang tawaran kemasukan dan juga penganugerahan sijil selain daripada saluran rasmi universiti adalah palsu dan tidak sah,” katanya di sini, hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan di peringkat UM dan orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dengan cubaan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahguna nama dan logo universiti itu.
Katanya, UM tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana pihak sekiranya ada dalam kalangan mereka didapati menggunakan nama dan logo universiti itu tanpa kebenaran serta akan mengambil tindakan sewajarnya demi melindungi haknya di bawah undang-undang. – MalaysiaGazette