KUALA LUMPUR – Perbahasan usul Rang Undang-Undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU355) yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi ditangguh perbahasannya pada sesi Dewan Rakyat kali ini.
Walaupun usul tersebut berada dalam senarai kertas aturan mesyuarat, ia tidak sempat dibahas memandangkan keutamaan diberikan kepada usul-usul yang dibawa kerajaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim membentangkan usul supaya sidang Dewan Rakyat hari ini berakhir hanya selepas lima rang undang-undang kerajaan diluluskan.
Abdul Hadi juga tidak kelihatan di Dewan Rakyat, dipercayai sedang bercuti berikutan pembedahan jantungnya pada Mei lalu.
RUU355 yang dibentang oleh Presiden Pas, Abdul Hadi pada 6 April lalu bertujuan untuk memperkasakan kuasa mahkamah syariah.
Bagaimanapun, RUU 355 tidak didebat selepas Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menundakan persidangan Dewan Rakyat.-MalaysiaGazette