Norlela Ariffin

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Penanti, Dr. Norlela Ariffin menafikan dirinya menjadi dalang dalam kes tangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Phee Bon Poh.

Norlela yang dihubungi MalaysiaGazette menafikan memberi maklumat atau bukti kepada SPRM sehingga menyebabkan Bon Poh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang Pulau Pinang ditahan terlibat dalam siasatan isu kilang haram di Seberang Perai.

“SPRM tidak pernah jumpa saya, tapi saya tidak nafikan mereka (SPRM) ada hubungi untuk berjumpa saya tapi saya tidak pernah berjumpa mereka.

“Saya tidak ada bukti atau pun maklumat berhubung isu tersebut (kilang), kalau saya jumpa SPRM apa boleh saya beritahu mereka. Mereka ada pegawai risikan sendiri, mungkin mereka yang menyiasat dan menemui bukti,” kata Norlela.

Norlela juga menafikan ada kaitan dengan isu penahanan Bon Poh kerana beliau kini berehat selepas diserang penyakit angin ahmar dan baharu sahaja keluar daripada hospital dan masih dalam pemerhatian doktor.

“Saya kena stroke pada 21 Julai, saya baharu keluar 8 Ogos dan kini dalam rawatan pemantauan jantung. Saya juga sudah lama tidak berada di kawasan kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan,” katanya lagi.

Beliau yang berasal dari Kajang pulang untuk mendapatkan rawatan di Hospital Assunta, Petaling Jaya.

Jelasnya lagi, sepanjang menjadi wakil rakyat di Penanti, beliau sering membangkitkan isu melibatkan kepentingan rakyat dan banyak bertanya mengenai status kilang haram selepas menerima aduan daripada orang ramai di sana.

“Saya banyak bertanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mengenai kilang di Sungai Lembu, apa status kilang tersebut dan tindakan susulan terhadap aduan yang dibuat oleh penduduk kawasan saya.

“Walaupun ada tindakan diambil terhadap kilang tersebut tapi mereka masih beroperasi dan penduduk kawasan berterusan bertanya dan menyoal kepada saya mengapa kilang tersebut tidak ditutup.

“Saya konsisten dalam membangkitkan isu rakyat di kawasan saya, saya hanya bertanya dan mahu tindakan tegas diambil, itu sahaja,” katanya lagi.

Kontroversi tercetus selepas Norlela mengeluarkan ucapan penghargaan di Facebook kepada SPRM selepas Bon Poh ditahan kerana disyaki melakukan salah guna kuasa.

Sementara itu, Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Dr. Mansor Othman pada awalnya enggan mengulas mengenai perkara itu tetapi akhirnya berkata parti itu berdiri di belakang DAP.

Bagaimanapun, katanya, PKR tidak akan mengambil tindakan terhadap Norlela yang dicap pengkritik dan cuba mewujudkan perpecahan antara DAP dan PKR di Pulau Pinang.

“Kami menegaskan bahawa parti ini di Pulau Pinang adalah bersama kerajaan negeri. Kami berasa sedih dengan apa yang telah berlaku kepada Phee dan melihat tindakan ini oleh SPRM sebagai penganiayaan terpilih terhadap pembangkang.

“Apa pun yang dibangkitkan Norlela dilakukan atas kapasitinya sebagai ADUN Penanti,” katanya Mansor.

Beberapa tahun lepas, Norlela sering membangkitkan aduan rakyat d kawasannya termasuk kekurangan prasarana sehingga menangis di DUN Pulau Pinang, – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast