KUALA LUMPUR – Polis telah menahan seramai 249 orang remaja bawah umur dalam Ops Banteras Rimau di sekitar menara Berkembar Petronas (KLCC) sekitar 8 malam tadi.
Operasi itu dilaksanakan oleh sepasukan polis khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang terlibat dalam operasi di sekitar KLCC semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner, Mohd. Sukri Kaman berkata, hasil pemeriksaan terhadap kumpulan remaja itu, polis berjaya merampas kira-kira 10 bilang pisau pelbagai jenis dan buku lima.
Katanya, polis turut menemui dadah yang dipercayai dicampakkan remaja terbabit ketika pemeriksaan polis dilakukan sebagai mengelak ditangkap.
“Kesemua remaja bawah umur itu berusia di antara 10 sehingga 17 tahun dan mereka dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan polis.
“Kami juga menemui dua jenis dadah Erimin 5 dan Syabu yang dipercayai telah dibuang salah seorang remaja semasa anggota polis memeriksa mereka,” katanya kepada pemberita di sini.
Tambah Mohd. Shukri, kesemua remaja bawah umur itu akan disiasat untuk proses dokumentasi, mengesan rekod jenayah lampau dan ujian air kencing.
Jelas beliau kesemua mereka akan dibebaskan sejurus selepas proses siasatan dengan jaminan ibu bapa mereka.
Operasi itu katanya dilaksanakan mengikut aduan orang ramai dengan kerjasama pegawai penguat kuasa pelbagai agensi.
Seramai empat pegawai dan 70 anggota dari IPD Dang Wangi, Pengawal keselamatan KLCC, polis bantuan Petronas, dan sukarelawan polis terlibat secara langsung dalam operasi ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette